Airbnb Dalam Perbincangan Untuk Membeli Pesaing Di China, Xiaozhu

Airbnb Dalam Perbincangan Untuk Membeli Pesaing Di China, Xiaozhu

Diterbitkan pada November 24, 2016.

Airbnb, salah satu perkhidmatan popular yang membolehkan pengguna menyewa bilik untuk penginapan sementara kini dalam perbincangan untuk mengambil alih salah satu perkhidmatan serupa di China dalam usaha untuk berkembang di negara berkenaan, iaitu Xiaozhu.

Airbnb merupakan platform terbesar di dunia yang menawarkan kemudahan untuk pengguna menyewakan rumah mereka untuk pengguna lan. Walaubagaimanapun, di China, mereka dilihat agak ketinggalan jikalau dibandingkan dengan pesaing seperti Xiaozhu dan Tujia.com. Airbnb telah sedia mempunyai sekitar 75,000 perumahan yang disenaraikan dari negara dengan penduduk paling tinggi di dunia berkenaan, dan merancang untuk meningkatkan pekerja mereka kepada seramai 300 orang.

Airbnb dan Xiaozhu dikatakan telah mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan, dan berkemungkinan besar pengambil-alihan akan berlaku. Airbnb dan Xiaozhu masih tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan dengan perkara ini.

Sekiranya berlaku, maka Xiaozhu akan memberikan kelebihan serta-merta kepada Airbnb. Xiaozhu yang telah dimulakan pada 2012 lepas telah mengumpulkan dana operasi sebanyak $65 juta. Syarikat berkenaan mempunyai 10 juta pengguna aktif, dan lebih 100,000 penyenaraian perumahan di lebih 301 bandar di negara berkenaan.

Pengambil-alihan juga akan membantu Airbnb mengurangkan risiko untuk perlu melalui persaingan yang memakan kos lebih tinggi untuk mendapatkan pegangan pasaran. Uber sebelum ini telah kehilangan lebih $1 bilion di China ketika bersaing dengan Didi Chuxing, sebelum menjual perkhidmatan mereka kepada pesaing.

Pada September, Airbnb mengatakan telah mengumpulkan dana baru sebanyak $555.5 juta, membawa nilai syarikat Airbnb sebanyak $30 bilion.


TIPS & ULASAN