Cari @ Amanz

Masalah malware boleh dikatakan agak popular untuk sistem operasi Android – apatah lagi sejumlah besar peranti Android tidak menerima sokongan kemaskini sistem operasi. Terkini, firma sekuriti Check Point melaporkan mengenai malware baru yang mengancam peranti Android seluruh dunia dikenali dengan nama Gooligan.

Googligan dikatakan telah mengancam lebih 1 juta telefon pintar sejak beberapa bulan lepas, dan dikatakan angka berkenaan terus bertambah sekitar 13,000 setiap hari.

Gooligan Malware

Melalui malware ini, ia mengumpulkan data pengguna untuk membuat pengguna memasang aplikasi pada telefon pintar mereka, dan ia juga memperlihatkan iklan pada aplikasi dalam usaha pengodam berkenaan menjana duit.

Gooligan ini mengancam peranti pengguna daripada kedai aplikasi pihak ketiga dan bukannya melalui Google Play Store. Ini bermakna, peranti pengguna mungkin akan diancam oleh malware ini sekiranya anda memuat-turun daripada kedai aplikasi ketiga atau memuat-turun dan memasang APK terus pada telefon pintar anda. Selain daripada itu, malware ini hanya mengancam sistem operasi Android Kitkat dan Lolipop sahaja.

Gooligan Malware

Sebaik sahaja aplikasi yang diancam berkenaan dipasang, malware berkenaan akan mendapatkan akses root ke telefon pintar anda, dan membuat pengubah-suaian dalam membolehkan ia memasang aplikasi dan membuat perubahan beberapa perkara lain.

Google sendiri mengatakan mereka telah menetapkan semula akaun pengguna yang terkesan dengan malware ini, selain aplikasi yang mempunyai aktiviti Gooligan ini telah dibuang daripada kedai aplikasi. Apa pun, seperti dikatakan pada awalnya, pengguna digalakkan tidak memasang APK yang dimuat-turun dari laman web pihak ketiga pada telefon pintar anda.

Anda juga turut boleh menyemak sama ada akaun Google anda terkesan atau tidak melalui laman khusus yang disediakan oleh Check Point.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd