GoPro Membuang 15% Pekerjanya, Menutup Bahagian Media Hiburan

GoPro Membuang 15% Pekerjanya, Menutup Bahagian Media Hiburan

Diterbitkan pada Dis 1, 2016.

GoPro dilihat agak sukar untuk mendapatkan tarikan dan permintaan untuk kamera aksi mereka, termasuk dron terbaru. Dalam usaha untuk mengurangkan kos, GoPro kini mengurangkan tenaga kerja mereka sekitar 15%, dan pada masa yang sama menutup bahagian media hiburan mereka.

Syarikat berkenaan yang masih tidak menjana keuntungan akan membuang sekitar 200 pekerja sepenuh masa. Tony Bates yang menyertai GoPro pada Jun 2014 lepas sebagai presiden turut akan berhenti pada penghujung tahun ini. Beliau sebelum ini bertugas sebagai timbalan presiden eksekuti di Microsoft, dan juga merupakan ketua pegawai eksekutif untuk Skype.

Dengan menutup bahagian media hiburan, ia sekaligus memberikan petanda yang mana syarikat berkenaan akan lebih memfokuskan visi mereka. Sebelum ini sendiri, pelabur agak skeptikal dengan perancangan GoPro untuk membangunkan syarikat media melalui video atas-talian menggunakan kamera GoPro.

GoPro mengatakan penstrukturan semula ini akan mengurangkan kos operasi mereka kepada sekitar $650 juta pada 2017, dan dijangka mencapai matlamat untuk kembali menguntungkan. Syarikat berkenaan dijangka akan menanggung kos sekitar $33 juta untuk penstukturan semula ini.

GoPro sebelum ini berharap pada kamera Hero5 dan juga dron Karma yang dilancarkan pada bulan Oktober lepas. Sehingga kini, kedua-dua produk berkenaan gagal mencapai apa yang diharapkan pihak pengurusan, dan pada awal bulan ini, GoPro telah menurunkan sasaran jualan tahunan mereka.

GoPro menyalahkan ia terhadap masalah pengeluaran. GoPro sebelum ini telah memanggil semula 2,500 dron Karma disebabkan masalah teknikal.

GoPro sebelum ini merupakan salah satu syarikat yang disukai ramai, tetapi kini menerima persaingan tinggi – termasuk daripada Snap Inc yang telah mengeluarkan kaca mata khusus untuk Snapchat, selain Apple dan lain-lain. Dalam arena dron pula, GoPro mengalami persaingan sengit daripada DJI Technology yang turut telah melancarkan model dron baru mereka seminggu selepas GoPro.


TIPS & ULASAN