Apple Akan Menggunakan Dron Untuk Menambah-Baik Data Pemetaan

Apple Akan Menggunakan Dron Untuk Menambah-Baik Data Pemetaan

Diterbitkan pada Dis 1, 2016.

Apple merancang untuk menggunakan dron dan fungsi navigasi dalam bangunan baru untuk menambah-baik perkhidmatan Apple Maps, dan pada masa yang sama mengejar Google.

Apple sedang mengumpulkan pasukan robotik dan mereka yang pakar dalam mengumpulkan data – dimana mereka akan menggunakan dron untuk merakamkan dan mengemaskini informasi peta dengan lebih pantas, berbanding menggunakan kamera yang dipasang pada minivan.

Apple ingin menerbangkan dron untuk menyemak perkara seperti tanda jalan raya, perubahan perjalanan, dan melihat sama ada sesuatu kawasan dalam pembangunan dan sebaliknya. Data yang dikumpulkan tersebut akan dihantar kepada pasukan Apple yang akan mengemaskini Apple Maps, sekaligus menawarkan informasi semasa yang terkini kepada pengguna.

Apple juga turut sedang membangunkan fungsi baru untuk Maps, termasuk paparan dalam bangunan, dan penambah-baikkan untuk sokongan navigasi kenderaan. Pihak Apple tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan dengannya.

Lima tahun selepas Google Maps dilancarkan untuk iPhone, Apple telah memperkenalkan aplikasi pemetaan mereka pada 2012 – dan hadir dengan pelbagai masalah serta kesilapan alamat. Apple ketika itu kekurangan teknologi yang diperlukan untuk mendapatkan data daripada pelbagai sumber dengan pantas dan menilai serta mengubah peta digital berkenaan.

Peta digital telah menjadi salah satu fungsi utama bagi Apple dan juga Google dalam menarik pembangun yang membangunkan aplikasi seperti untuk percutian, perkongsian kenderaan, dan pelbagai perkhidmatan lain yang diintegrasikan terus ke sistem operasi mudah-alih. Mengumpulkan data yang jitu dan tepat merupakan salah satu perkara utama dalam membangunkan peta digital ini, dan langkah Apple terbaru ini dijangka akan membantu mereka bersaing dengan kemampuan Google dalam arena sama.

Sejak Apple Maps dilancarkan, Apple telah menambah-baik aplikasi berkenaan dengan mengemaskini data dengan lebih pantas, menambah mod untuk navigasi menggunakan sistem pengangkutan awam, menambah-baik keputusan carian, dan membuka platform untuk perkhidmatan seperti Uber dan OpenTable. Inisiatif dron ini adalah kesinambungan untuk usaha ini, dan tidak berkait dengan produk dron daripada Apple untuk tujuan komersial.


TIPS & ULASAN