Seperti di dalam laporan kami sebelum ini, Apple mendapati 90% aksesori peranti mereka yang dijual di Amazon didapati adalah palsu. Majoriti aksesori yang dijual ini adalah pengecas yang lebih murah harga jualannya berbanding aksesori asli. BBC melaporkan 99% pengecas palsu yang diuji oleh U.K. Trading Standards gagal di dalam ujian keselamatan.
Hanya 3 daripada 400 pengecas palsu melepasi standard keselamatan asas. Antara kegagalan yang ditemui ialah bahan penebat yang tidak mencukupi untuk mengelakkan renjatan elektrik kepada pengguna. Oleh itu sekali lagi kami mengingatkan pembaca Amanz supaya menggunakan pengecas dan aksesori tulen. Belilah dari penjual yang tidak diragui.
Di China penggunaan pengecas palsu mengakibatkan kerosakan ke atas iPhone 6 yang berhenti berfungsi walaupun bateri masih lagi di tahap 30%. Anda mungkin berjimat sekarang tetapi ia akan merugikan anda apabila anda tercedera dan harta benda terbakar.