Di acara AWS re:Invent 2016, pihak AWS turut mengetengahkan pengguna-pengguna mereka yang telah membangunkan aplikasi dan solusi menarik, baik untuk pengguna perusahaan mahupun pengguna umum. Di Thailand, aplikasi TSquare menyelesaikan masalah trafik di Thailand, malah jauh lebih baik dari Google Maps.
Menurut K. Goragot Wongpaisarnsin, aplikasi TSquare yang dibangunkan oleh Toyota Tsusho Thailand ini mempunyai ketepatan data yang lebih baik dari Google Maps. Ini kerana maklumatnya berdasarkan masa-nyata yang terdapat pada GPS kenderaan. Ini berbeza dari maklumat geolokasi telefon pengguna yang kadangkalanya tidak tepat dan tidak persis.
Satu lagi perkara yang menarik mengenai aplikasi ini adalah informasi trafiknya meliputi hampir kesuluruhan jalan di Thailand. Perkara ini telah mereka capai enam bulan lepas dan jalan-jalan dikawasan luar bandar turut diliputi perkhidmatan ini. Perkara ini dijayakan dengan adanya lebih dari 130,000 kenderaan yang bergerak dan menghantar data-data berkaitan. Malah dengan data berkaitan, mereka boleh meramalkan situasi trafik dalam tempoh 10 minit akan datang dengan kepersisan sebanyak 70% data yang diberikan adalah tepat.
Kebanyakan kenderaan yang mempunyai GPS ini merupakan kenderaan komersial dan bukan kenderaan persendirian. Ini kerana kenderaan komersial seperti trak, bas, teksi akan sentiasa bergerak, dan menjadikan mereka kenderaan yang sesuai untuk pemantauan trafik pada masa nyata. Malah maklumat yang diperoleh akan dianalisa dan dikongsikan pada saluran media umum. Kejadian seperti kemalangan atau kesesakan akan disebarkan pada saluran radio dan juga televisyen.
Dalam berkongsi mengenai perancangan akan datang, mereka merancang untuk melakukan sesuatu bagi menganalisa trafik manusia didalam sesuatu tempat, seperti pusat membeli belah. Namun mereka bukanlah menjejak pengguna secara terus, kerana data yang dikongsikan adalah bersifat tidak menjurus pada peribadi, iaitu secara anonymous. Mereka turut merancang untuk memasuki pasaran lain yang mempunyai masalah trafik, dan Indonesia merupakan sasaran seterusnya.