Apple dipercayai bakal menggunakan panel AMOLED pada skrin iPhone 8 tahun hadapan bagi menggantikan skin IPS LCD sedia ada. Panel AMOLED menjimatkan penggunaan bateri dan mempunyai penghasilan warna yang baik. Mereka dipercayai akan menggunakan panel AMOLED keluaran Samsung dan Sharp. Ini menimbulkan kerisauan dari pengeluar lain yang akan berhadapan dengan kekurangan panel AMOLED yang dibeli pukal oleh Apple.
Oleh itu menurut laporan media China, Huawei dan BBK (syarikat yang memiliki Oppo, Vivo dan OnePlus) akan membentuk konsortium bersama Royole bagi menghasilkan panel AMOLED mereka sendiri. Dengan pembentukan konsortium ini mereka tidak perlu risau pengilangan produk mereka terbantut kerana ketiadaan komponen sehingga tahun 2020. Tahun ini penghasilan OnePlus 3 terganggu akibat kesukaran mendapatkan panel Optik-AMOLED. Gabungan pengeluar besar dari China ini akan memberikan saingan kepada Samsung dan Sharp yang selama ini menjadi pengeluar skrin AMOLED utama dunia.