Cari @ Amanz

Seperti yang dikatakan oleh Dr Werner Vogels dalam perkongsian beliau, pengguna dan pembangun merupakan pelanggan mereka yang paling diutamakan. Dalam berkongsi mengenai perancangan buat pembangun tempatan, kami telah bersama dengan Adam Fitzgerald, Pegawai Perhubungan Pembangun (Developer Relations) dari AWS.

awovkppMemulakan bicara, Adam menyatakan yang mana pihak AWS sentiasa mendengar pendapat dan permintaan dari pembangun, dan kebiasaannya akan membangunkan perkhidmatan yang bersesuaian dengannya. Malah 90% dari pelan perancangan mereka adalah berdasarkan permintaan pembangun. Dengan pelbagai pilihan yang ada, mana-mana pembangun tanpa mengira asal-usulnya dapat memanfaatkan kuasa perkomputeran yang disediakan oleh AWS.

Apabila ditanyakan mengenai sesetengah perkara yang tidak tersedia untuk negara ini, seperti contoh peranti Alexa dan juga perkhidmatan yang bersangkut-paut dengannya seperti Amazon Lex, Amazon Polly, ia adalah bergantung kepada kemampuan teknikal yang dimiliki pada negara tersebut. Malah buat masa ini, perkhidmatan sebegitu hanya tersedia pada beberapa kawasan dan tidak semua kawasan di negara Amerika Syarikat serta Eropah menerimanya.

Sebelum sesuatu perkhidmatan itu diwujudkan untuk kawasan lain, ia akan melalui proses memungut data sewaktu percubaan beta, dan hasil-hasil data tersebut akan digunakan untuk menambah baik perkhidmatan tersebut. Apabila teknologi tersebut matang dan menerima permintaan ramai, barulah ia akan diwujudkan pada pasaran yang dirasakan telah memenuhi syarat oleh AWS.

AWS kerap mengadakan acara khusus untuk pembangun dan sehingga kini terdapat pelbagai aktiviti yang diadakan untuk pembangun tempatan, baik acara khusus secara besar-besaran atau secara menyertai acara lain. Acara khusus seperti AWS Summit KL telahpun diadakan dua kali, iaitu pada tahun 2015 dan 2016 menyaksikan penyertaan memberangsangkan dari pembangun tempatan.

awssummitkl

Namun begitu acara seperti AWS Summit KL merupakan acara yang menyentuh perkhidmatan AWS secara kasar, dan bukan secara menyeluruh. Adam menyatakan terdapat perancangan untuk melakukan acara khusus dipanggil AWS DevDay pada masa akan datang. Berbeza dengan AWS Summit yang memberikan pengenalan mengenai perkhidmatan AWS, AWS DevDay merupakan hari yang sarat dengan kelas teknikal, dan hadirin perlu sedia mengetahui mengenai AWS sebelum menyertai DevDay.

Namun perkara ini masih lagi dalam perancangan dan buat masa ini tiada kata putus. Menurut Adam juga, acara sebegini bergantung kepada permintaan pengguna tempatan. Malah tambah beliau lagi, pengguna tempatan digalakkan untuk menyertai forum atas talian mereka bagi menunjukkan minat untuk acara sebegini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd