Pada hari ini, sistem pengangkutan awam alternatif seperti Uber dan Grab sedia mencuri perhatian ramai – apatah lagi dengan harga yang rendah, selain kemudahan untuk membuat tempahan untuknya. Selain daripada kedua-duanya, kini satu lagi sistem pengangkutan baru yang sedang dibangunkan dan ditawarkan dalam bentuk terhad adalah Riding Pink.
Riding Pink memfokuskan kepada penawaran sistem pengangkutan khusus untuk wanita, termasuk pemandunya juga adalah wanita. Ia ditawarkan khusus dalam mengatasi masalah kerisauan mengenai keselamatan ketika menaiki teksi atau pengangkutan alternatif ini.
Melalui laman Riding Pink, mereka mengatakan buat masa ini, kebanyakkan pemandu mereka adalah suri rumah, ibu tunggal, atau ibu yang bekerja dan ingin mendapatkan pendapatan lebih. Buat masa ini, mereka mempunyai sekitar 100 pemandu – iaitu 60 pemandu sepenuh masa, dan 40 pemandu sampingan.
Selain membuat tempahan ke destinasi, ada pemandu yang turut menerima tempahan untuk menghantar dan mengambil anak mereka dari sekolah. Untuk tujuan membawa budak lelaki, mereka membawa mereka yang berumur bawah 16 tahun sahaja.
Riding Pink buat masa ini masih menggunakan sistem secara manual, dimana tempahan dilakukan melalui Facebook atau WhatsApp. Laman Riding Pink memberikan petanda aplikasi Android dan iOS untuk perkhidmatan berkenaan akan datang.
- Layari : Riding Pink