Sebulan sekali kami akan pergi ke toko besar untuk melakukan pembelian barangan runcit. Selepas troli dipenuhi barang, kami ke kaunter pembayaran. Barisan yang panjang akan menyambut kedatangan kami di kaunter pembayaran. Menurut Amazon beratur panjang ketika membeli belas akan pupus seawal 2017 dengan pengenalan sistem Amazon Go.
Amazon Go ialah sistem baru yang sedang diuji oleh mereka di Seattle. Menggunakan sistem ini pembeli memasuki pasar raya dengan pengimbas peranti pintar mereka di pintu masuk. Setiap kali barang diambil dari para-para, ia akan dikesan oleh sistem Amazon Go. Usai melakukan urusan membeli belah pengguna hanya perlu berjalan keluar dan bayaran akan dikenakan ke akaun Amazon mereka.
Amazon Go menggunakan gabungan teknologi pembelajaran mesin, kecerdasan buatan dan penglihatan komputer untuk mengetahui barangan apa yang diambil oleh pelanggan. Buat masa ini satu-satunya kedai yang menyokong sistem ini dibuka di Seattle hanya untuk kakitangan Amazon. Sebuah kedai akan dibuka untuk orang ramai tahun hadapan.