Cari @ Amanz

Saya masih ingat sewaktu saya memasang niat ingin mendapatkan MacBook Pro pada tahun 2008. Saya telah bekerja berhempas-pulas bagi mendapatkan komputer riba tersebut pada harga RM6,999. Ia menjadi pilihan saya berikutan keperluan kerja saya sebagai Produser Multimedia yang memerlukan komputer berprestasi tinggi dan pada masa yang sama saya ingin mencuba dunia mobiliti, bekerja di mana-mana yang saya sukai. MacBook Pro yang hadir dengan bentuk yang nipis dalam kelasnya, dengan kelengkapan dan kebolehan yang banyak serta kestabilan sistem operasi menjadi idaman setiap penggiat dunia kreatif.

macbook-pro-2016-touch-bar-img_20161129_131010

Rekabentuk

MacBook Pro 13″ Touch Bar
CPU 2.9 GHz Dual-core Intel Core i5, Turbo Boost 3.3 GHz
GPU Intel Iris Graphics 550
Memori 8GB RAM 2133MHZ
Storan 256 GB /  512 GB PCIe SSD
Port 4 x Thunderbolt 3
Kamera Hadapan Facetime HD 720p
Berat 1.3kg
Harga RM 7,599 (256 GB) / RM 8,399 (512 GB)

Kini setelah 8 tahun berlalu, saya telah menggunakan tiga generasi MacBook Pro pada saiz 15-inci iaitu generasi pertama versi 2007 yang dibeli pada tahun 2008, versi unibody 2011 yang mengalami masalah kad grafik namun menerima gantian percuma meskipun jaminan AppleCare telah tamat dan masih beroperasi sehingga kini. Serta generasi ketiga versi Retina 2013 yang digunapakai setiap hari. Ketiga-tiga ini adalah pada saiz 15-inci berikutan kesesuaian paparan dalam melakukan tugas multimedia.

Minggu lepas di acara AWS re:Invent yang bertempat di Las Vegas, saya sempat singgah ke kedai rasmi Apple bagi mencuba MacBook Pro versi terbaru yang dilengkapi TouchBar. Ia merupakan MacBook Pro yang membawakan perubahan dari segi gerak kerja, dengan kehadiran panel paparan yang boleh disentuh, diseret, digosok dan berinteraksi mengikut kawalan pengguna.

Apabila melihat pada MacBook Pro yang baru ini, yang menarik perhatian saya adalah kenipisannya yang lebih memudahkan pengguna membawanya kemana-mana. Sewaktu menangkatnya, perasaan kagum sama sewaktu saya mengangkat MacBook Pro Retina apabila sudah lama menggunakan MacBook Pro Unibody. Terciptanya komputer riba berkuasa tinggi yang lebih ringan sudah tentu tidak menyusahkan saya untuk membawanya kemana-mana, lebih-lebih lagi kebiasannya saya membawa beban hampir 8kg termasuk kamera dan set mikrofon.

macbook-pro-2016-touch-bar-img_20161129_131048

MacBook Pro 15″ Touch Bar
CPU 2.7 GHz Dual-core Intel Core i7, Turbo Boost 3.6 GHz
GPU Radeon Pro 455 + 2GB RAM
Memori 16GB RAM 2133MHZ
Storan 256 GB /  512 GB PCIe SSD
Port 4 x Thunderbolt 3
Kamera Hadapan Facetime HD 720p
Berat 1.83kg
Harga RM 10,199 (256 GB) / RM 11,999 (512 GB)

Namun disebalik kenipisan tersebut, terdapat pengorbanan yang telah dilakukan Apple. Apple yang terkenal dengan pembunuhan teknologi seiring peredaran masa kini telah membunuh hampir kesemua port pada MacBook Pro. Dahulu penggiat kreatif memilih MacBook Pro kerana terdapat pelbagai kelengkapan yang boleh dipasangkan padanya. Pupusnya port seperti DVI-D, Firewire 800, Audio-In, LAN, mungkin tidak memberikan kesan besar namun dengan tiadanya slot kad SD dan juga USB bersaiz biasa, ia telah mengundang perbalahan.

Hanya satu port yang ditinggalkan pada MacBook Pro Touchbar iaitu USB-C. Bagi pengguna MacBook yang telah membeli pelbagai aksesori professional, seperti pemacu cakera SSD Lacie dan sebagainya, ini merupakan satu masalah besar, dimana penyesuai perlu dibeli. Malah lebih menyakitkan hati adalah Thunderbolt sedia ada tidak dapat digunakan sekiranya tiada penyesuai. Jika anda mempunyai palam kuasa MagSafe, ia tidak boleh digunakan bersama MacBook terkini. Ini sekaligus menambahkan beban yang perlu dibawa, dan membuatkan pemilikan MacBook Pro 2016 yang lebih nipis dan ringan tidak lagi bererti.

macbook-pro-2016-touch-bar-img_20161129_132036

Pada MacBook Pro 2016 ini juga terdapat Trackpad yang sangat besar. Ia satu perkara yang diterima ramai akan tetapi tidak terdapat jurang diantara Trackpad dan juga Spacebar. Saya antara pengguna yang kerap meletakkan kedua ibu jari dan kadangkala mengawal Trackpad menggunakan ibu jari. Jika pada MacBook terdahulu terdapat ruang untuk meletakkan ibu jari, namun pada versi terkini pengguna perlu memastikan ibu jari tidak mengganggu Trackpad tersebut.

Satu perkara lagi yang saya kurang sukai secara peribadi adalah papan kekuncinya. Apabila MacBook diumumkan tahun lepas, ia membawakan papan kekunci yang lebih nipis. Papan kekunci sebegini turut disertakan pada MacBook Pro terbaru dan perasaan menaip menggunakannya tidak sebagus dua MacBook Pro yang saya miliki sebelum ini. Sekali lagi saya perlu ingatkan yang pengalaman menaip adalah berbeza mengikut pengguna, dan saya tidak menyukai papan kekunci terbaru ini.


Touch Bar – Keperluan atau Kehendak ?

Saya tidak ingin mengulas mengenai prestasi sistem operasi, memandangkan umum mengetahui kestabilan dan kepantasan MacOS. Malah ia telah ditulis terlebih dahulu oleh Arib Ismail. Apa yang saya ingin kupaskan adalah penggunaan TouchBar. Apakah TouchBar ini dapat memudahkan penggunaan, atau gimik semata-mata?

macbook-pro-2016-touch-bar-img_20161130_054455

TouchBar telah diletakkan menggantikan barisan butang F yang terdapat di posisi atas papan kekunci. Butang Escape akan sentiasa berada di hujung atas kiri, membolehkan pengguna keluar dari mod TouchBar, untuk memaparkan butang F. Pada sebelah kanan pula pengguna boleh melihat butang-butang asal seperti mengawal kecerahan, mengawal tahap suara, dan melancarkan Siri.

Saya memulakan percubaan dengan menggunakan Safari, iaitu pelayar internet buatan Cupertino. Apabila melancarkan Safari, TouchBar akan memaparkan ikon-ikon untuk melancarkan laman web lain dengan pantas. Dan saya tidak ada masalah dengan butang sebegini. Jika ingin menukar tab, saya hanya perlu klik pada ‘tab’ yang dipaparkan secara visual pada TouchBar dan in satu yang memudahkan. Namun apabila ingin melakukan carian, dengan menekan pada butangnya di TouchBar, saya perlu melihat skrin semula dan ini menjadikan pengalaman menggunakannya tidak menyenangkan.

Butang-butang maya TouchBar akan berubah sejajar dengan aplikasi yang sedang diaktifkan. Jika anda sedang membuka Finder, anda boleh menekan butang Quick Look, Share, ataupun Tagging. Bagi saya, saya tidak kerap menggunakan fungsi Share dan juga Tagging. Namun bagi Quick Look, saya sudah terbiasa dengan menekan kekunci Spacebar bagi mengaktifkannya. Ini merupakan satu kejanggalan bagi saya dan sekiranya menggunakan Finder, saya tidak merasakan yang saya akan kerap menekan butang Quick Look tersebut.

Saya meneruskan percubaan dengan aplikasi-aplikasi popular yang lain, seperti Numbers, iMovie, GarageBand, Photos, Notes dan pelbagai lagi. Bagi mengisi teks, terdapat fungsi Autocomplete yang boleh memudahkan pengguna untuk terus mengisi teks mengikut perkataan yang dicadangkan dan meletakkan emoji bersesuaian dengannya. Bagi Numbers, untuk mengubah jadual dan format pada sesuatu ruang jadi lebih mudah, tanpa memerlukan pengguna untuk melakukan Right click. Pada iMovie juga ia memudahkan anda untuk memotong video.

Namun perkara yang sama iaitu saya perlu melihat TouchBar untuk mengetahui apakah butang maya yang sedang aktif dan tersedia untuk ditekan, dan kembali melihat paparan skrin. Secara tidak langsung perilaku proses untuk navigasi perbuatan tersebut telah bertambah. Saya selaku pengguna yang sudah biasa dengan kekunci pantas (Shortcut key) merasa tidak banyak yang TouchBar boleh tawarkan pada saya.

Satu perkara yang perlu diberi pujian adalah kualiti paparan pada TouchBar adalah menghampiri kualiti paparan dengan kemasan Matte. Kemasan sebegini tanpa kilau (glossy) yang terdapat pada MacBook Pro generasi pertama adalah satu kemasan yang menambah sudut pandang paparan tersebut. Fungsi Siri dapat dilancarkan secara terus, namun saya tidak dapat mencuba fungsi TouchID.

macbook-pro-2016-touch-bar-img_20161129_132641


Jika diikutkan dari pengalaman saya menggunakan MacBook Pro selama 8 tahun, setiap MacBook Pro generasi terbaru dapat menggoda saya untuk berubah dan menaiktaraf komputer yang menjadi keperluan seharian dalam melaksanakan tugas. Namun hati saya masih berbelah-bahagi dengan MacBook Pro generasi keempat dengan TouchBar ini, memandangkan saya perlu membeli penyesuai untuk melakukan tugas harian dan juga harga tawarannya yang diluar kemampuan saya.

Bagi anda yang ingin mencubanya, kami difahamkan Machines di Malaysia telahpun memulakan penjualannya dan terdapat beberapa kedai yang memaparkan MacBook Pro terbaru ini. MacBook Pro dengan Touch Bar ini dijual pada harga bermula RM7,599 untuk versi 13-inci, dan bermula RM10,199 untuk model 15-inci.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd