Cari @ Amanz

Kes saman menyaman melibatkan Apple sudah berlangsung sejak 2011. Apple menuduh Samsung meniru rekaan iPhone pada model-model awal peranti Samsung Galaxy. Mereka didapati bersalah pada tahun 2012 dan Samsung membayar $548 Juta (~RM 2.5 Billion) kepada Apple sebagai ganti rugi Disember tahun lalu. Tetapi Samsung merasakan adalah tidak adil mereka perlu membayar ganti rugi sebesar itu untuk kesalahan meniru sebahagian rekaan yang dipatenkan Apple.

Samsung kemudian membawa kes ke Mahkamah Agung Amerika Syarikat kerana mendakwa $399 Juta (~RM 1.8 Billion) dari ganti rugi yang telah dibayar tidak sepatutnya dianugerahkan kepada Apple. Nilai ganti rugi seharusnya hanya mengambil faktor sebahagian rekaan yang ditiru dan bukan kos keuntungan setiap Galaxy yang terjual. Kes kini dikembalikan ke mahkamah biasa untuk menetapkan bayaran ganti rugi yang dirasakan lebih adil.

Pihak Samsung menyambut baik keputusan Mahkamah Agung dan menganggap ia “kemenangan ke atas golongan yang  menggalakkan kreativiti, inovasi dan persaingan yang bersih di dalam pasaran”. Apple pula dipetik mengatakan mereka yakin mahkamah akan menetapkan ganti rugi yang masih tinggi kepada mereka bagi menyampaikan mesej meniru ialah tindakan yang salah.

Enam tahun sudah berlalu sejak kes dibicarakan dan bab terakhir kes saman menyaman ini masih belum selesai. Menarik sekali sungguhpun mereka bertarung di mahkamah keadilan, Samsung dan Apple masih mampu bekerjasama dalam penghasilan cip pemproses dan skrin AMOLED untuk iPhone tahun hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd