Trend Micro Meramalkan Lebih Kerentanan Platform Ditemui Pada Apple Dan Adobe Berbanding Microsoft

Trend Micro Meramalkan Lebih Kerentanan Platform Ditemui Pada Apple Dan Adobe Berbanding Microsoft

Diterbitkan pada Dis 8, 2016 oleh .

Dengan tahun 2017 menjelang tiba, pelbagai syarikat mula membuat beberapa ramalan berkaitan arena teknologi. Terkini, pihak Trend Micro telah mengeluarkan ramalan mereka untuk tahun 2017, dan salah satu yang dijangka oleh mereka adalah dimana penemuan kerentanan pada platform Apple dan Adobe dijangka lebih banyak berbanding dengan Microsoft.

Menurut Trend Micro, pada 2016 ini sendiri, sebanyak 135 kerentanan telah ditemui pada produk Adobe, berbanding hanya 76 pada produk Microsoft. Untuk Apple sendiri, tahun 2016 menyaksikan angka kerentanan paling tinggi, iaitu sebanyak 50 kerentanan sehingga bulan November lepas.

Untuk tahun 2017, angka berkenaan dijangka akan terus meningkat. Salah satu sebabnya adalah kerana lebih ramai pengguna mendapatkan Mac, menjadikan ia salah satu sasaran ramai. Disamping itu, memandangkan beberapa peranti lama tidak disokong – sebagai contoh iPhone 4s, maka penjenayah siber akan mula mengkaji apakah pepijat yang diatasi pada versi baru platform, dan menggunakannya dalam menyasarkan pengguna platform lama.

Seperti biasa, pengguna dinasihatkan untuk menggunakan versi terkini aplikasi dan perisian – selain pada masa yang sama mengambil langkah untuk melindungi peranti daripada pelbagai malware dan kerentanan ini.


TIPS & ULASAN