Asus pada tahun ini telah memperkenalkan Asus Zenfone 3, dimana terdapat pelbagai variasi peranti ditawarkan dibawahnya, termasuk antaranya adalah Zenfone 3 Max, Zenfone 3 Laser, Zenfone 3 Ultra dan juga Zenfone 3 Deluxe. Satu lagi peranti baru bakal turut ditambah dibawah keluarga sama tidak lama lagi, iaitu Zenfone 3 Zoom.
Berbeza dengan Zenfone Zoom sebelum ini, untuk Zenfone 3 Zoom ia dilihat tidak membawakan rekaan lensa yang besar dengan sokongan zoom optikal. Sebaliknya, kali ini ia menyertakan sokongan dwi-kamera pada bahagian belakang.
Zenfone 3 Zoom ini dijangka menawarkan dwi-kamera 16-megapixel pada bahagian belakang. Namun, bagaimanakah fungsinya masih menjadi tanda tanya – sama ada untuk zoom, membuat gambar bokeh, atau dengan fungsi penawaran lain.
Zenfone 3 Zoom ini juga dikatakan mungkin dilengkapi skrin 5.5-inci dan dijana Snapdragon 625.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Asus akan memperkenalkannya. Memandangkan kebiasaan Asus menghadirkan diri ke acara CES, tidak mustahil untuk kita melihatnya diperkenalkan pada acara berkenaan kelak.