Google Akan Mula Kurangkan Sokongan Untuk Kandungan Flash Pada Chrome

Google Akan Mula Kurangkan Sokongan Untuk Kandungan Flash Pada Chrome

Diterbitkan pada Dis 12, 2016 oleh .

Google sebelum ini sedia menekankan yang mana mereka akan mula menggantikan kandungan berbentuk Adobe Flash kepada HTML5 pada Chrome, dan kini mereka berkongsi lanjut bagaimana mereka akan melaksanakannya. Langkah ini diambil oleh Google adalah kerana kandungan berbentuk Flash sering terdedah kepada masalah sekuriti, selain menggunakan tenaga pemprosesan dan bateri yayng lebih tinggi berbanding kebiasaan.

Google melalui perkhidmatan mereka sendiri sedia menggantikan kepada kandungan HTML5 sejak beberapa tahun lepas, termasuk di YouTube dan juga platform pengiklanan mereka.

Kini pada pelayar web Chrome yang digunakan ramai pengguna internet seluruh dunia, Google akan mula memfokuskan kepada kandungan HTML5 secara berperingkat, menggantikan kandungan Adobe Flash yang masih diguna-pakai oleh beberapa web. Google akan mula mengimplementasinya di Chrome bermula bulan-bulan akan datang.

Untuk peringkat permulaan, Google akan mula memaparkan notifikasi meminta pengguna untuk memainkan kandungan Flash secara manual. Perkara ini akan diaktifkan untuk laman yang jarang dikunjungi pengguna (berdasarkan kaedah pelayaran mereka), dan seterusnya akan diaktifkan untuk semua laman bermula Oktober 2017 kelak.

Selain Google, pihak Mozilla juga dijangka melakukan perkara sama bermula tahun hadapan – sekaligus mungkin kita akan melihat kandungan Flash tidak lagi akan digunakan di web dalam beberapa tahun lagi.


TIPS & ULASAN