Honor Memperkenalkan Peranti “Konsep”, Honor Magic – Hadir Dengan Sokongan Kecerdasan Buatan

Honor Memperkenalkan Peranti “Konsep”, Honor Magic – Hadir Dengan Sokongan Kecerdasan Buatan

Diterbitkan pada Dis 16, 2016 oleh .

Selepas Xiaomi memperkenalkan peranti “konsep” mereka yang dinamakan sebagai Mi Mix, kini pesaing mereka, Honor daripada Huawei turut telah memperkenalkan salah satu telefon pintar terbaru mereka, dinamakan sebagai Honor Magic.

Honor Magic

Honor Magic membawakan rekaan skrin melengkung, sekaligus menawarkan paparan yang luas pada skrin 5-inci dengan resolusi 2560×1440 pixel. Honor Magic ini menggunakan skrin AMOLED, dan menawarkan rekaan skrin melengkung dihadapan, dan kerangka aluminium di bahagian belakang.

Honor Magic ini turut menggunakan butang Home yang turut mengintegrasikan sensor pengimbas cap jari pada bahagian hadapan. Menjananya adalah cip Kirin 950, memori 4GB RAM, dan ruangan storan 64GB.

Pada bahagian belakang, Honor Magic menggunakan dwi-kamera 12-megapixel, dan kamera hadapan 8-megapixel. Ia dilengkapi dengan bateri 2900mAh.

Melengkapkan telefon pintar ini adalah Android 6.0 Marshmallow dan juga perisian tambahan khusus yang dinamakan sebagai Honor Magic Live.

Honor mengatakan ia menyertakan sokongan kecerdasan buatan yang boleh mengetahui kaedah penggunaan seseorang pengguna. Ia turut menyertakan sensor dinamakan WiseScreen yang boleh mengenal-pasti apabila pengguna mengangkat peranti – dan ia akan mengaktifkan terus skrin Honor Magic. Perkara sama juga apabila pengguna meletakkan peranti berkenaan, ia akan mematikan skrin secara automatik. Perkara ini dijayakan melalui penggunaan sensor berkenaan yang digabungkan dengan sensor infrared pada kamera hadapan.

Disamping itu, Honor Magic turut mengintegrasikan fungsi dinamakan FaceCode Intelligent Recognition yang hanya memaparkan notifikasi kepada wajah-wajah yang telah didaftarkan pada telefon berkenaan sahaja.

Honor Magic ini dihadkan untuk pasaran China sahaja, dan ia turut hadir dengan sokongan seumpama Google Now On Tap, selain boleh menggunakan integrasi geolokasi untuk memaparkan sesuatu perkara – sebagai contoh memaparkan tiket apabila ingin memasuki teater. Honor Magic juga dikatakan boleh mengenal-pasti cahaya persekitaran dan mengaktifkan lampu suluh.

Pengenalan telefon pintar Honor Magic ini adalah selari dengan ulang-tahun ketiga Honor hari ini. Buat masa ini, perancangan pemasaran Honor Magic ini masih tidak diketahui lagi.

Honor Magic


TIPS & ULASAN