Samsung Bakal Hadir Dengan Gear VR Baru – Turut Dijangka Memperlihatkan Teknologi AR

Samsung Bakal Hadir Dengan Gear VR Baru – Turut Dijangka Memperlihatkan Teknologi AR

Diterbitkan pada Dis 17, 2016 oleh .

Samsung merupakan antara syarikat terawal yang menawarkan set realiti-maya untuk pengguna, iaitu Gear VR. Beberapa versi telah diperkenalkan, dan kini pihak Samsung turut mengesahkan mereka akan hadir dengan Gear VR baru pada 2017 yang menawarkan beberapa kemaskini baru dari segi sistem dan teknologi disebaliknya.

Selain daripada set untuk realiti-maya, pihak Samsung juga dijangka memperlihatkan teknologi AR (Augmented Reality), yang mana bakal menawarkan interaksi antara dunia nyata dan juga dunia maya.

Seperti ramai sedia maklum, Microsoft telah memperlihatkan penawaran mereka melalui HoloLens, dan memanggilnya sebagai Mixed Reality. Buat masa ini, apakah yang bakal ditawarkan Samsung masih menjadi tanda tanya, tetapi pihak Samsung mengatakan teknologi hologram mereka kelihatan benar-benar realistik.

Samsung dijangka akan berkolaborasi bersama pelbagai pihak dalam menjayakan teknologi AR atau hologram mereka ini. Antara nama yang disebut-sebut adalah Magic Leap yang sedia memperlihatkan penawaran mereka beberapa kali sebelum ini.

Selain AR dan juga realiti-maya, pihak Samsung juga dilihat akan lebih memfokuskan kepada arena kecerdasan buatan pada 2017 kelak, apatah lagi dengan pengambil-alihan VIV sebelum ini.

Dengan pelbagai perkembangan ini, semestinya MWC 2017 akan menjadi salah satu acara yang dinantikan ramai untuk melihat pelbagai teknologi penawaran baru daripada Samsung ini.


TIPS & ULASAN