Sekarang sedang musim Star Wars Rogue One. Filem prekuel kepada A New Hope ini menceritakan bagaimana pelan untuk memusnahkan Death Star tiba di tangan Puteri Leia. Bersempena penayangan filem ini terdapat banyak aksesori Star Wars boleh dibeli di pasaran. Kabel pengecas Mikro-USB berbentuk Millennium Falcon ini mungkin paling sesuai untuk peminat siri fiksyen sains ini.
Kabel sepanjang 86 sentimeter ini berkelip memberikan ilusi pesawat angkasa ini sedang bergerak sepantas cahaya. Apabila bersambung kepada peranti, lampu pada bahagian belakang pesawat akan menyala. Satu-satunya kekurangan pengecas ini ialah tiada versi USB-C atau Lightning. Hanya pemilik peranti dengan Mikro-USB boleh mengecas sepantas 12 parsec. Ia dijual pada harga $19.99 (~RM 90) seutas. Semoga Kuasa Bersama Anda!