Honda Dan Waymo (Google) Dalam Perbincangan Untuk Kerjasama Kereta Autonomi

Honda Dan Waymo (Google) Dalam Perbincangan Untuk Kerjasama Kereta Autonomi

Diterbitkan pada Dis 22, 2016.

Honda hari ini telah mengatakan mereka dalam perbincangan bersama Waymo, iaitu unit kenderaan autonomi yang dimiliki oleh syarikat induk Google, Alphabet Inc. Melalui kerjasama ini, ia akan membolehkan Honda untuk menggunakan teknologi pemanduan autonomi pada beberapa kenderaan mereka.

Kedua-dua syarikat menekankan yang mana perbincangan dan kerjasama mereka adalah untuk tujuan kajian buat masa ini, dan bukannya untuk pengeluaran penuh kenderaan. Sekiranya semua berjalan lancar, Honda akan menawarkan Waymo dengan kenderaan yang diubah-suai untuk menjalankan sistem autonomi, dan kenderaan berkenaan akan turut menyertai kenderaan sedia ada Waymo dalam ujian di empat bandar di Amerika Syarikat.

Perbincangan dengan Honda tuurt memperlihatkan Waymo ingin membangunkan sistem disebalik kenderaan autonomi berbanding dengan membuat kenderaan mereka tersendiri. Perkara ini juga turut memperlihatkan Waymo terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pengeluar kenderaan untuk menguji sistem mereka, dan bersedia untuk tujuan komersial.

Honda sebelum ini mengumumkan mereka merancang untuk memulakan jualan kenderaan autonomi sekitar 2020 kelak. Usaha berkenaan akan diteruskan, dan melalui bantuan Waymo, Honda mengatakan mereka turut akan melihat kepada kaedah teknikal yang lain.

Alphabet pada minggu lepas telah mengumumkan pengasingan perniagaan kenderaan autonomi ini kepada syarikat yang dipanggil sebagai Waymo – yang mana akan berusaha dan memfokuskan dalam mengubah industri pengangkutan.


TIPS & ULASAN