Xiaomi hari ini telah memperkenalkan komputer riba terbaru mereka yang dilengkapi dengan sokongan rangkaian 4G. Komputer riba terbaru mereka ini dinamakan sebagai Mi Notebook Air 4G dan hadir dalam variasi 12.5-inci dan 13.3-inci.
Mi Notebook Air 4G menawarkan spesifikasi lebih kurang sama seperti versi yang diperkenalkan pada bulan Julai lepas, dimana hadir dengan skrin 12.5-inci dengan paparan HD penuh, dijana menggunakan cip Intel Core M3, memori 4GB LPDDR3 RAM, dan ruangan storan 128GB SSD. Komputer riba ini menawarkan masa bateri sehingga 11.5 jam, selain turut dilengkapi port USB 3.0, USB-C dan juga bicu audio.
Mi Notebook Air 4G bersaiz 13.3-inci pula hadir dengan cip Intel Core i7 generasi ke-enam – yang mana merupakan penaik-tarafan berbanding hanya Core i5 sebelum ini. Selain itu, spesifikasi lain adalah lebih kurang sama, termasuk penggunaan kad grafik NVIDIA GeForce 940MX GPU, memori 8GB DDR4 RAM, dan ruangan storan 256GB SSD.
Kedua-duanya menggunakan sistem operasi Windows 10 berbahasa China. Kedua-dua model ini juga dilengkapi dengan sokongan rangkaian 4G, dan Xiaomi menawarkan data percuma sebanyak 4GB secara terbina sebulan selama 12 bulan. Ia menggunakan rangkaian China Mobile, dan fungsi 4G hadir terbina, membuatkan pengguna tidak memerlukan kad-SIM tambahan untuknya – sekaligus memberikan petanda komputer riba ini juga adalah hanya untuk pasaran China sahaja.
Dari segi harga, model 12.5-inci dengan 4G ini berharga CNY4699 (~RM3070), sementara model 13.3-inci pula berharga CNY6999 (~RM4512).