Cari @ Amanz

Windows XP dan juga Windows Vista adalah dua sistem operasi daripada Microsoft yang telah mula dihentikan sokongan untuknya oleh beberapa pengeluar – antara sebabnya adalah kerana Microsoft sendiri yang memfokuskan kepada sistem operasi Windows 7 dan keatas, selain beberapa sokongan moden yang sukar dilaksanakan padanya.

Selepas beberapa pengeluar mengumumkan perancangan mereka untuk menamatkan sokongan untuk Windows XP dan Vista, kini pihak Mozilla turut berkongsi perancangan mereka untuk pelayar web Firefox bagi dua sistem operasi berkenaan.

Menurut Mozilla, bermula bulan Mac 2017 kelak, semua pengguna Firefox pada sistem operasi Windows XP dan Vista akan dinaik-taraf secara automatik kepada Firefox ESR (Extended Support Release). Biasanya versi ini digunakan untuk organisasi, sekolah dan sebagainya – dimana ia menawarkan kemaskini sekuriti untuk tempoh yang lama berbanding dengan versi biasa.

Mozilla akan menyokongnya sehingga bulan September 2017 kelak. Mozilla mengatakan mereka akan membuat keputusan untuk menawarkan sokongan lanjut ataupun tidak berdasarkan angka pengguna daripada Windows XP dan Vista sekitar pertengahan tahun 2017 kelak – dan sekiranya masih ramai, maka mungkin mereka akan meneruskan sokongan untuknya.

Seperti biasa, pihak Mozilla turut mengalakkan pengguna untuk menaik-taraf sistem operasi Windows ke versi terbaru, dan memastikan mereka kekal menerima kemaskini sekuriti semasa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd