Cari @ Amanz

Menjana elektrik dari sumber lestari diharap dapat mengurangkan pencemaran dan memulihkan alam sekitar yang rosak teruk akibat penggunaan bahan api fosil. Peningkatan suhu dunia akan menyebabkan jutaan umat manusia kehilangan tempat tinggal dan menjurus kepada kepupusan massa.  Di Perancis jalan raya dengan panel solar terbina dibuka di Normandy.

Jalan raya solar sepanjang 1 Kilometer ini mempunyai panel seluas 2800 meter persegi. Ia akan membekalkan 280 Mwh kuasa kepada lampu jalan raya sebuah kampung berhampiran sepanjang tahun. Kerajaan Perancis bercadang membina 1 kilometer jalan raya solar untuk setiap 1000 kilometer jalan raya biasa.

Pembinaan jalan raya solar ini menerima kritikan negatif ramai pihak kerana menelan belanja €5 Juta (~RM 24 Juta). Pada waktu yang sama ketahanan jangka panjang jalan raya dan kesukaran membaikinya turut menjadi tanda soal. Sebelum Perancis, di Belanda sebuah laluan basikal dengan panel solar terbina telah dibuka di Krommanie. Projek Solaroad Belanda ini turut menerima kritikan kerana menelan belanja RM 13 Juta untuk laluan sepanjang 70 meter.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd