Cyanogen Menghentikan Operasi Dan Cyanogen OS Pada 31 Disember Ini

Cyanogen Menghentikan Operasi Dan Cyanogen OS Pada 31 Disember Ini

Diterbitkan pada Dis 24, 2016 oleh .

Di dalam arena custom ROM Android, CyanogenMod ialah nama yang tidak asing lagi. CyanogenMod merupakan salah satu ROM untuk peranti Android yang dibangunkan oleh komuniti, menawarkan sokongan untuk sejumlah peranti Android popular – sekaligus membolehkan peranti berkenaan kekal menikmati sistem operasi terbaru, walaupun ia tidak dikeluarkan oleh pengeluar tersebut sendiri.

CyanogenMod

Hasil kejayaannya, pengasasnya turut telah memulakan syarikat tersendiri dinamakan Cyanogen Inc. Melaluinya, mereka hadir dengan versi komersial yang dinamakan Cyanogen OS – dan bekerjasama bersama beberapa pengeluar, seperti OnePlus untuk menggunakan sistem operasi mereka secara terbina pada peranti berkenaan.

Hari ini, pihak Cyanogen Inc mengumumkan mereka akan menghentikan kesemua operasi pada 31 Disember ini. Pengumuman yang cukup tidak disangka ini dilakukan menerusi blog rasmi mereka. Sejak kebelakangan ini, syarikat yang bercita-cita untuk menggantikan Android daripada Google ini telah mengalami masalah kewangan sehingga terpaksa berhentikan sejumlah pekerja. Penghentikan operasi ini tidak memberikan kesan kepada komuniti ROM CyanogenMod yang beroperasi bebas.

Hanya dua tahun yang lalu mereka mahu diambil-alih oleh Google tetapi gagal mendapatkan kata sepakat. Malahan pada tahun 2015 Cyanogen dengan angkuh mengatakan mereka akan mengambil-alih pasaran Android daripada Google dalam masa dua tahun.

Bagi anda yang menggunakan sistem operasi Cyanogen OS, mungkin perlu beralih kepada versi yang dibangunkan oleh komuniti, iaitu CyanogenMod selepas ini.


TIPS & ULASAN