Cari @ Amanz

Ramai yang mengenali Xiaomi disebabkan oleh penawaran telefon pintar pada harga rendah. Selain daripada hanya telefon pintar, mereka juga turut mempunyai pelbagai penawaran lain melalui syarikat ekosistem mereka, termasuk antaranya adalah seperti periuk nasi, pembersih udara, permainan seumpama Lego, dan lain-lain lagi.

Terkini, lanjutan daripada kejayaan mereka melalui penawaran pembersih udara yang dipanggil Mi Air Purifier, pihak Xiaomi kini turut memperkenalkan pembersih udara bersaiz kompak untuk digunakan dalam kenderaan, dipanggil Mi Car Air Purifier.

Xiaomi Mi Car Air Purifier

Ia ditujukan untuk pasaran China, dan bertujuan untuk membersihkan udara dalam kenderaan. Ia mempunyai penapis PM2.5 yang boleh menapis pelbagai unsur di udara, selain berupaya membersihkan udara dalam kenderaan dalam tempoh kurang 7 minit. Peranti ini dilihat dipasang pada kerusi belakang penumpang, dan seperti biasa, boleh dikawal menggunakan aplikasi Xiaomi.

Mi Car Air Purifier ini turut dikatakan beroperasi dengan lebih senyap. Seperti penawaran peranti lain, Xiaomi mengehadkan penawaran ini untuk pasaran China – apatah lagi dengan kualiti udara disana yang sedikit teruk berbanding beberapa bandar utama lain.

Di China, Mi Car Air Purifier ini akan dijual pada harga 449 Yuan (~RM289).

Xiaomi Mi Car Air Purifier

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd