Cari @ Amanz

Tencent merupakan salah satu syarikat gergasi internet dari China, dimana mereka mempunyai pelbagai jenama popular dibawah mereka termasuk antaranya adalah WeChat dan juga Supercell. Terkini, pihak Tencent turut dilihat telah membuat pelaburan pada perkhidmatan pemetaan popular, HERE.

HERE sebelum ini telah beroperasi dibawah payung Nokia, tetapi telah dijual kepada kesatuan pengeluar kereta yang turut terdiri daripada Audi, BMW, dan juga Daimler.

Terkini, hari ini HERE mengumumkan penyertaan pelabur baru pada syarikat mereka, iaitu antaranya adalah Tencent, syarikat pemetaan dari China iaitu Navinfo, dan juga salah satu firma pelaburan daripada Singapura. Ketiga-tiga syarikat ini akan membuat pelaburan untuk pegangan sebanyak 10% pada HERE.

Pelaburan daripada syarikat China ini juga bakal membolehkan HERE memperluaskan perkhidmatan mereka ke pasaran tanah besar berkenaan. HERE dan Navinfo juga bakal berkolaborasi dalam menawarkan perkhidmatan pemetaan untuk kenderaan autonomi.

Disamping itu, HERE turut mengatakan melalui pelaburan Tencent, ia sekaligus akan membuatkan Tencent mengintegrasikan perkhidmatan HERE pada produk mereka seperti WeChat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd