Kemas Kini Automatik Windows 10 Mungkin Boleh Dinyahaktifkan Di Masa Hadapan

Kemas Kini Automatik Windows 10 Mungkin Boleh Dinyahaktifkan Di Masa Hadapan

Diterbitkan pada Dis 29, 2016 oleh .

Kemas kini perlu dilakukan pada peranti dan komputer bagi memastikan ia selamat dari sebarang kerentanan yang wujud. Pada sistem operasi Microsoft Windows 10, ia dilakukan secara automatik apabila komputer mempunyai sambungan internet. Pernah sekali kami menghabiskan kuota data kerana Windows memuat turun kemas kini bersaiz besar tanpa disedari. Komputer kemudian melakukan kemas kini tanpa disuruh.

Ini amat menjengkelkan sekiranya anda perlu menggunakan komputer dengan segera tetapi terpaksa menanti kemas kini habis dilakukan. Sistem kemas kini automatik ini mungkin boleh dinyahaktifkan di masa hadapan. Windows 10 build 14997 yang tertiris membawakan fungsi di mana kemas kini boleh dinyahaktifkan selama 35 hari. Sepanjang tempoh ini tiada kemas kini sistem akan dimuat turun dan dipasang. Hanya definisi Windows Defender akan dimuat turun bagi memastikan tiada serangan virus.

Sistem baru ini dijangka akan disertakan dengan Windows 10 Creators Update yang bakal hadir Mac 2017. Bagi mereka yang pernah kehabisan kuota data dan tidak boleh menggunakan PC sementara menantikan kemas kini dipasang, ini fungsi yang pastinya tidak sabar untuk digunakan.


TIPS & ULASAN