Big Blue Taxi Mula Menggunakan Sistem E-Tiket Untuk Mengelakkan Penipuan Tambang

Big Blue Taxi Mula Menggunakan Sistem E-Tiket Untuk Mengelakkan Penipuan Tambang

Diterbitkan pada Dis 30, 2016 oleh .

Salah satu perkara yang sering menjadi igauan ramai pengguna dalam mendapatkan teksi adalah penipuan tambang oleh pemandu, dan sengaja menggunakan jalan yang jauh untuk mendapatkan kos tambang lebih tinggi. Disebabkan oleh itu, perkhidmatan seperti Grab dan Uber adalah lebih popular dikalangan pengguna Lembah Klang dan bandar-bandar utama lain.

Terkini, dalam usaha mengatasinya, pihak Big Blue Taxi mengumumkan mereka akan mengimplementasi sistem tiket elektronik untuk semua pemandu teksi dibawah syarikat mereka. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 1 Januari ini.

Melaluinya, pengguna akan dikenakan caj tambang tetap tanpa sebarang caj tersembunyi, sementara pemandu teksi tidak lagi perlu menggunakan meter untuk mengira tambang. Pemandu akan diberikan resit pembayaran lebih awal sebelum menaiki sesuatu teksi, dan mereka turut akan menerima data pemandu dan kenderaan yang dinaiki.

Seperti biasa, pengguna boleh memilih untuk membuat pembayaran menggunakan tunai atau kad, selain pilihan teksi bajet atau eksekutif.

Buat masa ini, perkhidmatan tiket elektronik untuk teksi dibawah Big Blue akan beroperasi di KLCC dan Publika. Ia dijangka diperluaskan ke lokasi lain pada masa akan datang.


TIPS & ULASAN