Qualcomm hari ini mengatakan pihak Meizu dari China telah bersetuju untuk membuat pembayaran perlesenan untuk penggunaan paten, bagi menyelesaikan kes saman di China dan tiga negara lain, sekaligus memperlihatkan syarikat dari Amerika Syarikat mampu mempertahankan hak cipta mereka di negara tanah besar berkenaan.
Meizu akan membayar Qualcomm yuran paten yang lebih kurang sama seperti pengeluar telefon di China yang lain. Qualcomm sebelum ini telah memfailkan saman ke atas Meizu pada Jun lepas di China dan beberapa negara lain yang Meizu membuat perniagaan – termasuk Jerman, Perancis dan juga Amerika Syarikat. Saman yang difailkan melibatkan pelanggaran hak cipta, terutamanya teknologi berkaitan rangkaian telekomunikasi 3G dan 4G.
Perkara ini semestinya salah satu langkah utama untuk Qualcomm dalam memastikan perniagaan mereka dalam industri cip terus berkembang. Qualcomm hari ini menjana pendapatan melalui penjualan semikonduktor, tetapi pada masa yang sama, perlesenan teknologi menyumbang kepada sehingga 75% daripada pendapatan pra-cukai untuk tahun fiskal 2016.