Carian
Jack Dorsey Mempertimbangkan Penyertaan Butang Menyunting Tweet Di Twitter
December 31, 2016 Aman

Pada perkhidmatan Twitter, salah satu fungsi yang dimohon ramai adalah sokongan menyunting sesuatu Tweet yang dihantar – mungkin untuk menambah media yang tertinggal, atau membetulkan ejaan dan sebagainya. Kini, melalui Tweet yang dikongsikan CEO Jack Dorsey, beliau mengatakan mereka sedang mempertimbangkan fungsi berkenaan.

Perkara berkenaan diperlihatkan oleh Jack Dorsey dengan menjawab Tweet pertanyaan beliau mengenai apakah perkara baru yang mereka ingin lihat pada Twitter pada 2017 kelak.

Jack Dorsey turut membincangkan, mengatakan mungkin boleh menawarkan sokongan penyuntingan dengan menawarkan masa penyuntingan yang terhad – mungkin sekitar lima minit selepas sesuatu Tweet dihantar.

Hal ini adalah kerana terdapat beberapa media yang turut menyertakan Tweet dalam laporan mereka, dan semestinya mereka tidak inginkan konteks berubah apabila seseorang pengguna menyuntingnya selepas ia disiarkan pada televisyen atau dicetak.

Ia tidak diketahui lagi bilakah fungsi seumpamanya diperkenalkan. Buat masa ini, Jack Dorsey sedang mengumpulkan maklumbalas mengenai ciri baru yang pengguna inginkan melalui Twitter pada 2017 kelak.

Komen