Carian
Dunia Teknologi Sepanjang Tahun 2016
December 31, 2016 Aman

Tahun 2016 melabuhkan tirainya hari ini. Sepanjang tahun ini, dunia teknologi telah mendapat perhatian ramai pihak, dan pelbagai inovasi dan perkara baru telah diperlihatkan bukan sahaja pada peringkat antarabangsa, tetapi juga di Malaysia. Seperti biasa, kami di Amanz, melihat kembali kepada beberapa perkara menarik yang telah berlaku dalam dunia teknologi sepanjang tahun ini.


Penstriman Video Semakin Popular

Tahun 2016 ini memperlihatkan dunia penstriman video semakin popular dikalangan pengguna tempatan. Seperti ramai sedia maklum, iFlix sedia menawarkan perkhidmatan mereka untuk pengguna tempatan disamping bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi dalam mempopularkan perkhidmatan penstriman video mereka.

Selain iFlix, tahun 2016 turut menyaksikan pihak Netflix menawarkan perkhidmatan mereka di Malaysia. Selain daripada Netflix, pihak Amazon turut telah menawarkan Amazon Prime Video untuk pasaran tempatan, dan pihak The Star sendiri turut hadir dengan penstriman kandungan daripada Asia yang dinamakan sebagai Dimsum.

Dengan pelbagai perkhidmatan penstriman video baru ini, pihak syarikat telekomunikasi mudah-alih seperti U Mobile, dan Digi turut memainkan peranan dalam mempopularkan perkhidmatan penstriman video dengan memberikan data percuma untuk menggunakan beberapa perkhidmatan.


Pembantu Maya Pintar Menjadi Fokus Ramai Pengeluar

macOS SierraPembantu maya pintar sedia diintegrasikan pada pelbagai peranti mudah-alih di pasaran, dan antara fungsi pembantu maya pintar yang popular adalah termasuk Google Now, Siri dan juga Cortana. Pada tahun ini, kita dapat menyaksikan kesemuanya mengalami evolusi, dan menjadi semakin pintar dalam memudahkan tugasan harian pengguna. Pihak Google sendiri dilihat telah melangkah setapak kehadapan dan menjenamakan semula pembantu pintar mereka sebagai Google Assistant.

Pada tahun ini juga, pihak Amazon yang tidak disangka ramai berjaya mencuri perhatian ramai melalui produk pembantu maya pintar yang dinamakan sebagai Alexa. Walaubagaimanapun, memandangkan Amazon masih tidak menjejakkan kaki ke Malaysia (selain Amazon Prime Video dan AWS), maka kita mungkin akan mengambil sedikit masa sebelum fungsi Alexa ini popular di pasaran tempatan. Beberapa produk khusus untuk pembantu pintar turut hadir, termasuk antaranya adalah Google Home daripada Google, dan Amazon Echo daripada Amazon.


Bot Dimana-Mana

ShopifyDengan perkembangan dunia pembelajaran mesin dan pembantu maya, pada tahun ini juga kita dapat melihat dunia bot semakin popular dan hadir diintegrasikan pada pelbagai platform. Melalui bot, beberapa tugasan asas dapat diautomasikan, selain memudahkan pengguna untuk membuat beberapa perkara tanpa perlu meninggalkan aplikasi yang selesa digunakan mereka.

Antara perkhidmatan yang telah mengintegrasikan sokongan bot adalah termasuk di Telegram, Facebook Messenger, dan juga Skype. Selain daripadanya, pelbagai penyedia perkhidmatan menawarkan kemudahan untuk sesiapa sahaja membuat bot.


Robotik Dan Dron Semakin Popular

Asus ZenboBercakap mengenai pembantu maya pintar sendiri, salah satu perkara yang sering dikaitkan dengannya adalah dunia robotik. Pada tahun 2016 ini, kita telah dapat melihat beberapa robot mula digunakan dalam kehidupan harian. Baru-baru ini sendiri kita telah melihat sebuah restoran di Sarawak menggunakan robot untuk menggantikan pelayan bagi menghantar makanan dari dapur ke meja makanan.

Selain daripada robot untuk industri, pihak Asus pada tahun 2016 ini telah memperlihatkan penawaran robot peribadi untuk digunakan di rumah, dinamakan sebagai Asus Zenbo. Walaupun diumumkan pada tahun ini, robot berkenaan hanya akan dipasarkan bermula daripada awal 2017 kelak di Taiwan.

Bersama-sama populariti dunia robotik, ia juga turut memberi kesan positif terhadap dunia dron. Kini, lebih ramai menggunakan dron dalam bukan sahaja merakamkan gambar, tetapi juga untuk beberapa tujuan lain. Beberapa syarikat turut mengujinya untuk menghantar barangan, selain ada yang menggunakannya untuk memancar internet di beberapa kawasan yang sukar dicapai.


Ransomware Menjadi Igauan Ramai

Ransomware Decryptor ToolsPerkembangan teknologi juga sering dikaitkan dengan masalah sekuriti dan privasi. Pada 2016 ini, kita telah melihat pelbagai jenis ransomware yang menyerang komputer pengguna dan membuatkan sejumlah dokuman dan fail tidak boleh digunakan.

Bagi anda yang tidak mengenali akan ransomware, ia sejenis malware yang membuatkan fail dan dokumen anda menjadi tebusan. Untuk melepaskannya, kebiasaannya pengguna akan diminta untuk membayar atau melakukan sesuatu. Fail yang terjejas biasanya akan melalui penyulitan membuatkan anda tidak dapat membukanya.

Pelbagai syarikat antivirus dan sekuriti telah menawarkan penyelesaian mereka untuk ransomware. Namun, seperti biasa, ia berevolusi dengan pantas – dan ia dijangka akan terus menjadi igauan ramai untuk tahun akan datang.


Fungsi Dwi-Kamera Pada Telefon Pintar

Tahun 2015 menyaksikan peranti dengan 4GB RAM hadir ke pasaran, dan pada tahun 2016 ini, pelbagai peranti dipasarkan dengan memori sehingga 6GB RAM dan spesifikasi yang lebih tinggi – kadang-kala lebih berkuasa daripada beberapa komputer asas di pasaran.

Persaingan dalam arena peranti mudah-alih juga bukan sekadar penawaran spesifikasi semata-mata, tetapi juga dari segi penawaran fungsi tambahan lain, termasuk sokongan kamera. Sepanjang 2016, kita telah melihat sejumlah telefon pintar diperkenalkan yang menggunakan dwi-kamera pada bahagian belakang. Kebiasaannya, sokongan dwi-kamera ini membolehkan pengguna untuk merakamkan gambar dengan fungsi seumpama bokeh, atau menawarkan fungsi zoom, atau rakaman gambar hitam-putih.

Antara pengeluar yang telah mengintegrasikan sokongan dwi-kamera pada telefon pintar mereka adalah termasuk Huawei, Apple, LG, Vivo, Xiaomi, ZTE, Honor dan juga Gionee.


China Terus Mengukuhkan Kedudukan Dalam Dunia Teknologi

ChinaBercakap mengenai dunia teknologi, sering ramai yang memandang ke arah negara-negara barat. Namun, 2016 menyaksikan negara China lebih mencuri perhatian ramai dengan pelbagai kejayaan mereka dalam arena teknologi di negara berkenaan sendiri – selain turut mula memperluaskan perkhidmatan ke negara-negara lain.

Di Malaysia sendiri, pihak Alibaba telah mengambil-alih Lazada – dan dijangka akan menawarkan perkhidmatan pembayaran mereka Alipay bermula tahun 2017 kelak. Disamping itu, Uber telah menarik-diri daripada China disebabkan oleh persaingan sengit disana.

Dalam dunia peranti, pengeluar dari China terus mengukuhkan kedudukan. Ini termasuk Lenovo yang memperluaskan kedudukan dalam arena pemasaran komputer, sementara Huawei yang mula memperluaskan penawaran produk mereka ke negara-negara barat.


Fungsi Penstriman Langsung Melalui Pelbagai Laman Sosial

Google DuoDengan akses internet yang lebih laju dari hari ke hari, pelbagai laman sosial kini turut memfokuskan kepada sokongan penstriman video langsung melalui aplikasi mereka. Antara yang popular pada tahun ini adalah Facebook melalui fungsi Facebook Live mereka. Selain daripada Facebook, pihak Twitter turut telah mengintegrasikan fungsi sama, selain Instagram yang mula menawarkan perkara sama secara berperingkat kepada pengguna mereka.

Selain daripada penstriman langsung, satu lagi fungsi yang popular pada tahun 2016 ini adalah sokongan panggilan video, dimana pihak WhatsApp sendiri telah mengintegrasikan sokongan panggilan video pada perkhidmatan mereka yang menjadikan lebih ramai menggunakannya. Selain WhatsApp, pihak Facebook turut mempopularkannya melalui Facebook Messenger, sementara Google yang hadir dengan aplikasi khusus dinamakan Google Duo.


Dunia PC Kembali Popular

Tahun 2016 ini menyaksikan dunia PC dan perkomputeran kembali popular, dan tidak lagi hanya memfokuskan penawaran peranti mudah-alih seperti sebelum-sebelum ini.

Salah satu sebabnya boleh diperkatakan disebabkan oleh perkembangan realiti-maya seperti Oculus dan HTC Vive yang memerlukan PC berkuasa.

Sepanjang tahun ini, kita telah melihat pengenalan pelbagai kad grafik berkuasa tinggi daripada NVIDIA, selain Intel yang memperkenalkan cip pemprosesan generasi ke-7 mereka. AMD turut telah memperkenalkan keluarga cip pemprosesan baru dinamakan sebagai Ryzen.

Disamping itu, PC bersaiz kompak juga mula menjadi popular, termasuk PC dengan rekabentuk beg-galas. Selain PC, komputer riba juga turut memperlihatkan perkembangan sihat dengan rekaan yang lebih nipis, serta penyertaan penggunaan USB-C untuk tujuan pengecasan. Apple sendiri membuat kejutan dengan memperkenalkan Macbook dengan sokongan TouchBar pada tahun 2016 ini.


Masalah Peranti – Galaxy Note 7 Meletup

Samsung Galaxy Note 7Bercakap mengenai salah satu masalah peranti popular pada tahun 2016 adalah berkaitan dengan Galaxy Note 7. Sejumlah peranti mengalami letupan secara tiba-tiba, membuatkan pihak Samsung menarik kembali Galaxy Note 7 daripada pasaran, dan memulangkan kembali wang pengguna.

Selain daripada peranti Samsung, GoPro turut menarik kembali dron pertama mereka yang dinamakan Karma kerana kehilangan kuasa di udara.

Apple juga mempunyai masalah lebih kurang sama melibatkan bateri, dimana mereka telah mula menawarkan kembali gantian untuk bateri iPhone 6s, selain mengumumkan mengenai masalah skrin pada iPhone 6.


Realiti-Maya Menjadi Salah Satu Fokus Utama

Sejak daripada 2015 lepas, arena realiti-maya telah menjadi fokus ramai pengeluar. Tahun 2016 menyaksikan ia melangkah setapak lagi kehadapan, selain sejumlah pengeluar telah mula memasarkannya untuk pengguna tempatan.

Salah satu yang popular pada tahun ini adalah PlayStation VR daripada Sony, dimana ia memfokuskan kepada penawaran permainan melalui realiti-maya. Beberapa aksesori disediakan khusus untuknya, dan ia turut telah mula dipasarkan di Malaysia.

Selain daripada PlayStation VR, pihak Google pada tahun ini telah mengumumkan DayDream, iaitu penawaran kandungan khusus untuk realiti-maya, selain piawaian untuk diikuti oleh pengeluar peranti untuk mengintegrasikannya pada peranti Android keluaran mereka. HTC turut telah memasarkan HTC Vive di beberapa negara – tetapi malangnya untuk pasaran tempatan ia ditangguhkan.

Komen