Cari @ Amanz

Kita kini hidup di zaman pasca PC. Semakin ramai lebih selesa menggunakan peranti pintar mudah alih untuk keperluan harian berbanding sebuah komputer. Tetapi masih wujud sebilangan pengguna yang memerlukan komputer riba untuk keperluan kerja. Contoh terbaik ialah saya sendiri yang bekerja sebagai wartawan. Oleh itu komputer riba seperti HP Envy ini dihasilkan. Ianya kompak, mempunyai kemasan premium dan dilengkapi dengan spesifikasi tinggi untuk kegunaan harian. Ini ialah ulasan kami untuk HP Envy.

Spesifikasi Dan Rekabentuk

HP Envy
Skrin 13.3″ IPS LCD HD Penuh
Pemproses 1.8 GHZ Intel Core i7-8550U
Pemproses Nvidia GeForce MX150 (2 GB GDDR5)
RAM 8 Gigabyte
Muatan Dalaman 512 Gigabyte PCIe NVMe SSD
Kamera 1080P
USB 2 X USB-A 3.0, 2 X USB-C
HDMI Tiada
Pembaca Kad MikroSD
Bateri 51 Wh
Harga Jualan RM 5499

Skrin 13.3″ IPS LCD digunakan dengan resolusi 1080P. Bingkai skrin ini adalah agak nipis menggunakan teknologi  BrightView. Penggunaan bingkai yang nipis ini selari dengan kehendak pasaran yang semakin banyak menggunakan skrin hampir nirbingkai. Ini sekaligus mengecilkan lagi saiz fizikal Envy bagi mereka yang menggemari komputer riba bersaiz kompak. Sebuah kamera HD disertakan pada bingkai untuk melakukan panggilan Skype.

Walaupun kompak spesifikasinya masih amat baik. Pemproses generasi terkini Intel Core i7-8550U dipadankan dengan memori sebesar 8GB LPDDR3 dan storan 512GB PCIe NVMe M.2 SSD. Model yang kami ulas turut dilengkapi kad grafik Nvidia GeForce MX150 dengan 2GB GDDR5.

Pilihan I/O adalah agak baik dengan dua USB-A 3.0, dua USB-C, satu pembaca kad mikroSD dan satu bicu audio 3.5mm. Jumlah I/O ini adalah amat baik kerana semakin banyak pengeluar lain memilih untuk hanya menyertakan dua USB-C pada komputer riba mereka.

Komen negatif yang boleh diberikan ialah Envy masih menggunakan port pengecasan komputer riba biasa. Kedua-dua port USB-C yang disertakan tidak boleh digunakan untuk mengecas. Ia walau bagaimanapun menyokong sambungan kepada dua monitor beresolusi 4K secara serentak di bawah format DP 1.2.

Kesemua ini dimuatkan ke dalam tubuh logam dengan rekaan yang kelihatan agak garang, Kami katakan garang kerana ia mempunyai sisi rata dan bukannya dibulatkan seperti komputer riba lain di pasaran. Pilihan rekaan yang lebih garang ini membuatkannya sesuai digunakan oleh insan yang ingin tampak lebih maskulin. Dengan berat 1.38 Kilogram ia jatuh ke dalam kategori ringan. Mengendong Envy tidak akan mengakibatkan bahu sakit dan tulang belakang merengkot.

Kami cukup gemar dengan rekaan engsel skrin. Apabila di dalam kedudukan dibuka sepenuhnya, bahagian bawah engsel menjongketkan sedikit bahagian bawah Envy. Jongketan sedikit ini membuatkan papan kekunci lebih selesa digunakan pada masa yang sama meningkatkan pengudaraan untuk menyejukkan komputer riba.

Bercakap tentang penyejukan, Envy menggunakan sistem penyejukan yang senyap. Ia cukup senyap sehingga membenarkan kami bekerja di atas katil sambil menidurkan anak. Sistem penyejukan yang disertakan juga amat baik kerana permukaan komputer tidak pernah menjadi terlalu panas sehingga ia tidak selesa diletakkan di atas riba ketika menaip.

Pada penggunaan biasa bunyi kipas hampir tidak kedengaran. Desiran kipas hanya disedari apabila menggunakan aplikasi suntingan video dan melancarkan permainan video.

Papan Kekunci

Papan kekunci pada hemat kami adalah komponen paling penting bagi sebuah komputer riba. Tanpa papan kekunci yang baik spesifikasi yang tinggi tidak bermakna. Ini sebab mengapa kami enggan membeli sebuah MacBook Pro. Pada Envy papan kekunci yang disertakan adalah dari jenis chicklet dengan sokongan lampu berwarna putih.

Ia amat selesa digunakan dengan jumlah travel yang memuaskan apabila kekunci ditekan. Suis membran yang digunakan juga senyap sekali lagi sesuai digunakan untuk bekerja di atas katil dan anda tidak mahu mengganggu teman hidup yang tidur disebelah. Bagi kami tanda aras papan kekunci yang baik ialah seperti yang ditemui pada MacBook Air.

Papan kekunci Envy masih belum setanding yang ditemui pada MacBook Air kerana binaan yang kurang kukuh. Kekunci bergerak terlalu bebas ke sisi apabila ditekan. Pada MacBook Air dan Asus ZenBook misalnya, kekunci yang digunakan bergerak dengan lebih sekata. Menaip terasa lebih selesa, seronok, dan paling penting sekali tepat.

Timbal balas diantara jari dan kekunci yang ditekan adalah antara aspek yang kini tidak dipandang berat oleh pengeluar. Apple sendiri kini sudah tidak lagi menggunakan kekunci seperti MacBook Air dan berpindah kepada rekaan Butterfly Switch yang pada hemat peribadi kami tidak selesa digunakan.

Pad Sesentuh

Teknologi pad sesentuh pada komputer riba Windows menunjukkan perubahan yang positif sejak dua tahun kebelakangan ini. Ia lebih boleh diandalkan bagi menggantikan sebuah tetikus.

Pada Envy, pad sesentuh yang digunakan adalah agak besar dengan permukaan atas diperbuat daripada kaca. Kami banyak melakukan suntingan gambar menggunakan Photoshop. Oleh itu saiz pad yang besar memudahkan kerja. Sepanjang tempoh ulasan hampir sebulan, kami juga menyedari pad sesentuh komputer riba ini adalah responsif. Menatal skrin dan melakukan aksi zoom adalah amat lancar.

Gesture seperti tiga jari untuk melakukan pertukaran aplikasi dan tap dua jari sebagai ganti right click kesemuanya disokong. Yang kurang menyenangkan ialah mekanisme klik yang terasa agak longgar. Apabila jari bergerak di atas permukaan pad, ia terasa longgar dan tidak teguh.

Penanda Aras

Pemproses Intel Core i7-8550U  yang digunakan adalah dari generasi terkini serta dilengkapi empat teras. Ini memberikannya kuasa yang mencukupi untuk segala tugas yang di lontar kepadanya. Dengan memori sebesar 8GB, ia turut memastikan program yang digunakan dapat berfungsi dengan lancar sepanjang masa.

Kami tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang tempoh ulasan kerana spesifikasi HP Envy adalah lebih dari memadai bagi kegunaan menyunting gambar, video, menulis dan sedikit sesi gaming.

Seperti yang kami nyatakan di awal ulasan, HP Envy dilengkapi kad grafik Nvidia GeForce MX150 yang cukup baik untuk menjalankan permainan komputer pada tetapan sederhana. Kami menguji CS:GO. Left 4 Dead 2, Overwatch dan Hitman Absolution. Anda tidak akan menikmati grafik pada tetapan tertinggi menggunakan Envy. Di dalam beberapa situasi resolusi diturunkan kepada 720P dengan grafik tahap pertengahan bagi mendapatkan framerate yang memuaskan.

Audio

Sistem audio Bang&Olufsen digunakan dengan konfigurasi dua pembesar suara pada bahagian atas dan dua pada bahagian bawah komputer riba. Kekisi pada bahagian atas kelihatan menarik dengan rekaan poligon. Tetapi saiz pembesar suara sebenar adalah lebih kecil dari kekisi. “Penipuan” ini turut boleh ditemui pada Apple MacBook.

Dari segi kelantangan, pembesar suara empat serangkai ini menghasilkan bunyi yang kuat dan jelas jika dibandingkan dengan pembesar suara komputer riba yang pernah kami ulas. Tetapi kerana saiznya yang kecil, dentuman bass kurang memuaskan. Treble jelas walaupun pada tetapan tertinggi.

Hakikatnya pembesar suara pada komputer riba jarang sekali memberikan audio yang memuaskan kerana saiz pemacu yang kecil. Hanya komputer riba gaming yang mempunyai saiz fizikal lebih besar membenarkan penggunaan pemacu yang besar sekaligus memberikan audio yang akan memenuhi piawaian penggemar audio elitis.

Bateri

HP mengiklankan bateri  51 Wh Envy mampu bertahan sehingga 14 jam. Sepanjang tempoh ulasan yang tidak mampu mendapat hayat penggunaan selama ini. Pada penggunaan biasa dengan keterangan skrin sekitar 70%, Envy mampu beroperasi sehingga 9 jam sahaja. Ini masih lagi kami rasakan adalah hayat bateri yang baik. Masa 14 jam yang diiklankan mungkin boleh disentuh sekiranya skrin dikurangkan ke 50% dan mod Power Saver diaktifkan.

Kesimpulan

HP Envy ialah komputer riba untuk kegunaan kerja dengan rekaan yang menarik. Siapa kata komputer riba pejabat perlu berwarna kelabu dan membosankan. Rekaan Envy memang boleh menimbulkan perasaan iri hati di kalangan pengguna komputer riba lain sesuai dengan nama yang diberi.

Spesifikasi model yang diulas adalah yang tertinggi ditawarkan oleh HP. Tiada masalah berlaku sepanjang masa ia digunakan. Papan kekuncinya selesa digunakan dengan sokongan lampu. Tiada bunyi bising ketika digunakan sekaligus membolehkannya digunakan di dalam bilik tidur untuk tugasan sebelum ke pejabat pada hari esoknya. Perkara yang sama boleh dikatakan mengenai pad sesentuh yang disertakan.

Bateri juga bertahan agak lama sekitar 9 jam dan mungkin boleh lebih bertahan sekiranya keterangan skrin diturunkan. Pengecasan berlaku agak pantas.

Pilihan I/O harus diberi pujian kerana memastikan pemilik tidak perlu sentiasa membawa penyesuai. Komen negatif ialah tiada port HDMI. Sebaliknya untuk output dua port USB-C yang terletak pada kedua-dua sisi menyokong dua monitor beresolusi 4K.

Kami banyak menyentuh perkara positif Envy. Tidak adil sekiranya kekurangan tidak diketengahkan. Pertama sekali ialah kemasannya cantik tetapi mudah kotor. Bahagian bawah dan kaki getah yang menjongketkan papan kekunci sudah kehitaman selepas digunakan. Kelemahan kosmetik ini memerlukan pengguna lebih berhati-hati dan membeli sarung yang mampu mengurangkan kekotoran.

HP Envy 13 dijual pada harga di antara RM 3999 dan RM 5499. Pada harga yang premium ini ia masih lagi kami rasakan berbaloi kerana kombinasi rekaan yang seksi dan kemampuan melakukan tugasan yang cukup memuaskan.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang kemas dan menarik. Tampak premium membuatkannya sesuai digunakan oleh golongan eksekutif.
  • Spesifikasi yang baik. Berfungsi dengan lancar. Kad grafik yang disertakan turut membolehkannya memainkan permainan komputer pada tetapan sederhana.
  • Hayat bateri yang baik sehingga 9 jam pada penggunaan biasa. Mampu bertahan lebih lama sekiranya keterangan skrin dikurangkan.
  • Terdapat banyak pilihan I/O, Tidak perlu membawa banyak penyesuai.
  • Berfungsi dengan senyap dan sejuk.
  • Papan kekunci dan pad sesentuh yang selesa digunakan. Pad sesentuh amat responsif.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada pilihan skrin sesentuh walaupun pada model yang paling premium.
  • Kemasan premium memerangkap kotoran dengan pantas. Perlu kerap dibersihkan.
  • Pad sesentuh sedikit longgar dan bergegar apabila jari menatal di atasnya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd