Project Ara sepatutnya menjadi peranti modular komersial pertama di pasaran. Idea membeli komponen baru setiap tahun untuk memperbaiki kemampuan peranti memang menarik tetapi didapati kurang praktikal. LG dan Lenovo kemudian menghasilkan idea peranti modular mereka sendiri tahun ini. Lenovo Moto Z ialah salah sebuah dua peranti yang menyokong aksesori modular Moto Mods. Ini ialah pandangan kami mengenai peranti utama dengan kemampuan modular.
Spesifikasi
Lenovo Moto Z | |
---|---|
Skrin | 5.5″ AMOLED QHD (535 PPI) |
Pemproses | Snapdragon 820 |
Cip Grafik | Adreno 530 |
RAM | 4 Gigabyte LPDDR4 |
Muatan Dalaman | 64 Gigabyte (MikroSD 256 Gigabyte) |
Kamera Utama | 13 Megapixel f/1.8, OIS, Laser |
Kamera Depan | 5 Megapixel f/2.2, Flash |
Kalis Air | Tidak |
Bateri | 2600 mAh (Pengecasan Pantas) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
Jalur LTE | 1/ 2/3/ 4/ 5/ 7/ 8/ 12/ 17/
19/ 20/ 25/ 28/ 38/ 40/ 41 |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Harga | RM 2699 |
Lenovo Moto Z dilengkapi skrin 5.5″ AMOLED dengan resolusi QHD. Skrin ini mudah dilihat di bawah terik matahari. Kualiti paparan adalah amat baik.
Pemproses Snapdragon 820 dipadankan dengan RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan sebesar 64 Gigbayte. Bagi yang memerlukan ruang storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256 Gigabyte disokong.
Kamera utama ialah sebesar 13-Megapixel f/1.8 dengan sistem OIS. Kamera selfie pula sebesar 5-Megapixel f/2.2 lengkap dengan sokongan flash bagi mengambil gambar di dalam keadaan gelap yang baik. Tidak banyak peranti di pasaran mempunyai sistem flash di bahagian hadapan ini.
Rakaman sehingga 4K disokong oleh kamera utama. Bagi yang lebih gemar merakam pada resolusi 1080P, kamera utama boleh merakam pada tetapan 60 FPS untuk kelancaran video yang maksimum.
Bateri sebesar 2600 mAh disertakan dan adalah saiz yang kecil bagi peranti dengan skrin 5.5″. Majoriti peranti dengan saiz skrin setanding dilengkapi bateri bersaiz 3000 mAH dan ke atas. Saiz bateri Moto Z adalah kecil kerana peranti mempunyai tubuh yang amat nipis 5.2mm.
Tidak seperti iPhone 7 Plus dan Galaxy S7 Edge, Moto Z tidak mempunyai ketahanan kalis air dan debu. Tetapi seperti iPhone 7 Plus, peranti ini tidak disertakan dengan bicu audio 3.5 mm. Bagi mengurangkan ketebalan peranti, bicu audio digantikan dengan USB-C merangkap port pengecasan. Sebuah penyesuai kepada bicu audio disertakan dengan setiap pembelian.
Rekabentuk
Perubahan besar dilakukan ke atas rekabentuk Moto Z berbanding Moto X sebelum ini. Sistem audio stereo pada bahagian hadapan kini tidak lagi digunakan. Hanya sebuah pembesar suara digunakan pada bahagian hadapan.
Sebuah pengimbas cap jari berbentuk segi empat tepat menggantikan pembesar suara stereo kedua pada bahagian dagu. Rekaan baru ini pada hemat kami adalah langkah kebelakang jika dibandingkan dengan rekaan Moto X.
Sisi logam yang separa bulat digunakan. Tetapi kerana peranti yang terlalu nipis membuatkannya kurang selesa dipegang. Sisi terasa agak tajam. Sebuah Moto Mods Moto Style Shell disertakan dengan setiap pembelian. Ia sedikit sebanyak mengurangkan keselesaan kerana mempunyai panel belakang melengkung. Tetapi jika dibandingkan dengan keselesaan memegang sebuah iPhone 7 dan S7 Edge, Moto Z masih tidak memberikan taraf yang sama.
Pada sisi kanan terdapat tiga butang untuk mengawal tahap suara serta kuasa. Ketiga-tiganya mempunyai saiz hampir sama dan adalah sedikit kecil. Saiz yang kecil ini membuatkan aksi menekan butang kurang selesa. Perkara positif yang boleh diberikan mengenai rekaan butang ialah butang kuasa mempunyai tekstur lebih kasar bagi membezakannya dari dua butang kawalan suara.
Antaramuka
Anda sukakan peranti yang kelihatan seperti stock Android? Sekiranya ya, antaramuka Lenovo Moto Z akan menggembirakan anda. Hampir tiada kustomasi diberikan ke atas antaramuka peranti ini. Ini peranti yang paling hampir kepada sebuah Nexus. Ini bermakna tiada sela masa walaupun menggunakan pemproses kelas pertengahan. Aplikasi gendut juga tidak wujud kerana Lenovo menggunakan aplikasi Google sebagai aplikasi default.
Pelancaran dan penukaran aplikasi dapat dilakukan dengan pantas. Aplikasi dilancarkan hampir sekelip mata. Kami sempat mencuba Moto Z dan kami langsung tidak dapat menemui perbezaan di antaranya dan Moto dari segi kelancaran serta kepantasan. Lenovo/Motorola baru sahaja dinobatkan sebagai pengeluar yang paling pantas memberikan kemas kini kepada peranti bagi peranti bukan Nexus. Apabila melihat antaramuka peranti Moto Z, kami yakin ini akan berterusan.
Tetapi ini tidak bermakna Lenovo tidak menyertakan sebarang fungsi tambahan. Melalui aplikasi khas Moto beberapa fungsi menarik yang tidak wujud pada Android stock disertakan seperti di bawah.
Moto Display – Berinteraksi dengan notifikasi peranti tanpa menyentuh skrin. Peranti akan mengesan pergerakan tangan dan memaparkan notifikasi yang diterima secara automatik.
Moto Actions –
- Chop – Melancarkan lampu suluh dengan membuatkan pergerakan memotong sebanyak dua kali.
- Twist – Memusing peranti menggunakan pergerakan pergelangan tangan sebanyak dua kali untuk melancarkan kamera.
- Swipe – Mengecilkan skrin peranti untuk mod sebelah tangan dengan mentatal dari bawah skrin ke atas.
- Wave – Menantikan penggera dengan lambaian tangan tanpa menyentuh skrin
- Angkat – Menjawab panggilan telefon secara automatik apabila ia diangkat dari permukaan meja.
Moto Voice – Mengawal peranti dengan sistem kawalan suara.
Moto Assist – Automasi peranti yang mengesan situasi anda. Ketika memandu mod ini akan memberitahu siapa yang melakukan panggilan tanpa perlu melihat skrin. Ketika mesyuarat ia akan memadamkan notifikasi dan nada dering.
One Handed Mode – Mengecilkan saiz skrin peranti untuk memudahkan penggunaan satu tangan, Menarik sekali skrin mengecil pada bahagian tengah skrin bukannya ke sisi seperti sistem satu tangan peranti lain.
Kamera
Kamera utama sebesar 13-Megapixel f/1.8 OIS dipadankan dengan kamera hadapan sebesar 5-Megapixel f/2.2 dengan flash pada bahagian hadapan. Bagi yang gemar mengambil selfie, kehadiran flash ini akan menyelesaikan masalah gambar gelap apabila menggunakan kamera hadapan. Kamera utama mengambil gambar pada nisbah 4:3 pada tetapan tertinggi 13-Megapixel. Untuk mengambil gambar pada nisbah 16:9, resolusi diturunkan ke 9.7-Megapixel.
Tetapan rakaman video tertinggi pula ialah 4K 30 FPS dengan pilihan terdapat juga pilihan untuk 1080P 60 FPS. Sokongan 1080P 60 FPS ini amat dialu-alukan kerana ia lebih kerap digunakan berbanding 4K. Malahan majorti penstriman yang dilakukan melalui YouTube adalah pada resolusi 1080P 60 FPS. Antaramuka kamera mudah difahami dan minimalis. Tiada fungsi tambahan disertakan seperti pada peranti Sony dan Samsung.
Kemampuan kamera adalah baik pada situasi pencahayaan yang baik. Seperti yang anda boleh lihat menerusi contoh gambar-gambar di bawah penghasilan warna adalah tepat. Tidak terdapat masalah dedahan berlebihan dan gambar yang diambil juga tajam. Pengambilan gambar juga adalah pantas tanpa sebarang sela masa. Kekurangan hanya mula kelihatan pada waktu malam. Ketajaman gambar berkurangan dengan sedikit masalah noise. Tahun lalu Galaxy S7 Edge masih lagi jauh di hadapan dari segi kemampuan kamera.
Tetapi jika dibandingkan dengan 95% peranti lain di pasaran, Moto Z masih mempunyai kemampuan kamera yang tinggi. Untuk kegunaan harian ia lebih dari mencukupi kerana pantas dan mengambil gambar yang baik sungguhpun di dalam mod auto. Sistem OIS yang disertakan juga memastikan setiap gambar diambil mempunyai tahap ketajaman yang memuaskan.
Penanda Aras
Pemproses Snapdragon 820 yang digunakan adalah antara yang terpantas di pasaran. Tetapi Apabila ujian penanda aras dilakukan markah yang dicatatkan adalah lebih rendah berbanding OnePlus 3 dan HTC 10 yang yang menggunakan pemproses yang sama. Markah yang dicatatkan ialah 41751 pada Quadrant, 58209 pada Antutu 3D dan 25439 pada Futuremark.
Sungguhpun begitu tiada masalah dialami sepanjang tempoh ulasan. Peranti berjalan dengan cukup lancar dan kesemua aplikasi yang dimuat turun tidak terhenti secara tiba-tiba. Penggunaan Android yang hampir tiada kustomasi pihak ketiga memastikan kelancaran yang maksimum. Bagi mereka yang mahukan peranti yang lancar, Moto Z boleh dimasukkan ke dalam senarai pendek pembelian anda.
Bateri
Bateri yang disertakan hanya sebesar 2600 mAh. Bagi sebuah peranti dengan skrin 5.5″ dengan resolusi QHD dan pemproses Snapdragon 820, ini ialah saiz bateri yang amat kecil. Sebagai perbandingan peranti pesaing dengan spesifikasi setanding OnePlus 3 dan Galaxy S7 masing-masing dilengkapi bateri sebesar 3000 dan 3600 mAh. Bateri yang kecil digunakan bagi memberikan rekaan nipis Moto Z. Ini bukan percaturan yang bijak dan hayat penggunaan peranti terjejas teruk.
Pada penggunaan biasa ia mampu bertahan selama 11 jam dengan skrin terpasang hampir lima jam. Ini bukanlah hayat penggunaan yang baik bagi sebuah peranti utama. Bagi memanjangkan hayat pembelian Moto Mods Incipio offGRID Power Pack amat disarankan keran mampu memberikan penambahan hayat peranti sehingga dua jam. Berita baik di sini ialah Moto Z menyokong sistem pengecasan pantas yang mengecas bateri dalam masa kurang dua jam.
Pesaing
Pesaing terhampir kepada Lenovo Moto Z ialah OnePlus 3 dan HTC 10 kerana mempunyai spesifikasi setanding. Ketiga-tiga peranti ini juga adalah peranti utama yang dihasilkan oleh pengeluar.
Peranti Pesaing | ||
---|---|---|
Lenovo Moto Z | OnePlus 3 | HTC 10 |
5.5″ AMOLED QHD (535 PPI) | 5.5″ Optic AMOLED FHD (401 PPI) | 5.2″ Super LCD5 (565 PPI) |
1.8 x 2 + 1.6 x 2 GHz Snapdragon 820 | 2.15 x 2 + 1.6 x 2 GHz Snapdragon 820 | 2.15 x 2 + 1.6 x 2 GHz Snapdragon 820 |
Adreno 530 | Adreno 530 | Adreno 530 |
4 Gigabyte | 6 Gigabyte | 4 Gigabyte |
64 Gigabyte (256 GB MikroSD) | 64 Gigabyte | 32 Gigabyte ( 2 TB MikroSD) |
Kamera Utama 13 Megapixel f/1.8, OIS, Laser | Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0, OIS, PDAF | Kamera Utama 12 Ultrapixel f/2.0, OIS, Laser |
Kamera Hadapan 5 Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 5 Megapixel f/1.8, OIS |
2600 mAh (Pengecasan Pantas) | 3000 mAh (Pengecasan Pantas) | 3000 mAh (Pengecasan Pantas) |
RM 2699 | RM 1888 | RM 2799 |
Kesimpulan
Lenovo Moto Z ialah usaha untuk mengembalikan nama Moto ke pasaran Malaysia selepas Moto X tidak dijual di Malaysia pada tahun 2015. Di atas kertas Moto Z ialah sebuah peranti yang mempunyai spesifikasi dan kemampuan kamera yang baik. Ia juga menyokong sistem aksesori modular Moto Mod yang bukan sahaja unik tetapi adalah yang paling praktikal di pasaran sekarang. Perkara positif mengenai Moto Z ialah ia amat lancar dan tidak pernah mendatangkan sebarang masalah sepanjang tempoh ulasan.
Ia baru sahaja menerima kemas kini Android Nougat. Malang sekali peranti ulasan yang kami terima telahpun dipulangkan sebelum kemas kini diberikan. Sekiranya anda memerlukan peranti dengan rekaan Android Stock dan kemas kini yang pantas Moto Z akan memberikan kepuasan yang anda mahukan.
Aksesori Moto Mod yang boleh dihasilkan memberikan kemampuan tambahan yang tidak ditemui pada peranti lain. Secara peribadi Moto Mod Insta-Share dan Incipio offGRID ialah yang paling kami gemari. Insta Share mengubah peranti menjadi wayang mudah alih dengan kemampuan memancarkan video sebesar 60″. Kualiti gambar yang dipancarkan adalah menakjubkan bagi sebuah projektor sekecil telepak tangan. Incipio offGRID pula memanjangkan hayat bateri yang akan kami sentuh di perenggan seterusnya. Moto Mod lain seperti kamera Hasselblad adalah mengecewakan kerana tidak memberikan peningkatan kualiti gambar berbanding kamera 13-Megapixel sedia ada.
Tetapi ia bukanlah peranti yang sempurna. Di dalam pasaran peranti utama yang bukan sahaja sengit tetapi dipenuhi dengan peranti yang baik, kelemahannya adalah agak ketara. Pertama sekali ialah dari segi rekaan. Pengimbas cap jari berbentuk kotak pada dagu peranti kelihatan amat canggung. Jika diletakkan bersebelah S7, HTC 10, One Plus 3 dan Mate 9, Moto Z kelihatan tidak seimbang. Rekaan tubuh yang nipis pula membuatkannya kurang selesa dipegang kerana sisi yang agak tajam.
Tubuh nipis ini juga menyebabkan ia dilengkapi bateri yang kecil berbanding pesaing. Bateri 2600 mAh yang disertakan hanya mampu bertahan sekitar 11 jam dengan skrin terpasang hampir 5 jam. Peranti pesaing dengan spesifikasi setanding mampu bertahan jauh lebih lama. Untuk memanjangkan hayat peranti pembelian Moto Mod Incipio offGRID Power Pack amat disarankan. Sokongan pengecasan pantas walaubagaimanapun sedikit sebanyak mengurangkan kemarahan sekiranya bateri peranti habis dengan pantas.
Lenovo Moto Z ialah sebuah peranti yang baik di dalam pasaran yang dipenuhi dengan peranti lebih baik dengan harga jualan lebih mampu milik. OnePlus 3 mempunyai spesifikasi setanding tetapi tidak mempunyai masalah bateri dan rekaan yang lebih selesa. Sungguhpun begitu sekiranya anda mahukan peranti yang berfungsi lancar, pantas dikemaskini dengan kemampuan modular, Moto Z ialah satu-satunya peranti yang memenuhi semua kriteria di atas.
Kelebihan | Kekurangan |
|
|