2017 akan meneruskan kegilaan memintarkan kesemua objek harian dengan menggunakan teknologi peranti berhubung. Kini wujud pula Genican yang akan memintarkan tong sampah di rumah anda. Peranti ini mempunyai kamera dan pengimbas kod palang terbina. Apabila sampah dimasukkan ke dalam tong sampah, ia akan mengimbas kod palang secara automatik. Aplikasi Genican kemudian akan memasukkan produk ini ke dalam senarai pembelian barang dapur anda.
Sekiranya produk tidak mempunyai sebarang kod palang, letakkannya di hadapan kamera. Ia kemudian akan meminta pengguna untuk menggunakan arahan suara untuk menambahkan produk yang telah dibuang ke dalam senarai pembelian. Peranti ini menggunakan empat bateri AA yang hanya perlu ditukar setahun sekali. Harga jualan Genican ialah $125 (~RM 521) sebuah.