Kereta elektrik Faraday Future FF91 akhirnya diperlihatkan kepada umum hari ini dan akan bersaing secara terus dengan kenderaan keluaran Tesla. FF 91 ialah kenderaan pertama keluaran Faraday Future dan seperti Tesla mempunyai kemampuan pemanduan automatik.
FF 91 dilengkapi motor elekrtik 1050 kuasa kuda yang memastikan ia boleh mencecah 100 kilometer sejam dalam masa 2.39 saat. Ini menjadikannya antara kenderaan dengan pecutan terpantas menandingi Bugatti Veyron, Ferrari LaFerrari dan Tesla Model S P100D. Bateri sebesar 130 kWh memberikan jarak perjalanan maksimum 608 kilometer.
Menurut Faraday Future, FF 91 mampu mengesan siapan pemandu dan penumpang menggunakan sistem pengenalan wajah. Kecerdasan buatannya pula mempelajari tabiat dan gaya pemanduan pengguna sepanjang masa. Apabila di dalam mod pemanduan automatik, 36 sensor (10 kamera, 13 radar, 12 pengesan ultrasonik dan 1 LIDAR HD 3D) akan berfungsi bagi mengelakkan berlakunya kemalangan. Ia boleh mencari tempat letak kereta sendiri dan datang menjemput pemilik apabila dipanggil menggunakan aplikasi peranti pintar.
Tubuh dan rim tayar FF 91 boleh berubah secara dinamik mengikut keperluan aerodinamik bagi mengoptimasikan penggunaan bateri. Kesemua permukaan kaca boleh digelapkan dengan hanya satu tekanan butang. Pra-pesan boleh dilakukan dengan bayaran muka $5000 (RM 23000) . Harga jualan FF91 masih belum diumumkan dan menemui pembeli pada tahun 2018.