Asus sebelum ini telah memperkenalkan Asus Zenfone Zoom yang hadir dengan sokongan zoom-optikal. Kini, pada CES 2017, pihak Asus turut mengambil peluang untuk memperkenalkan kemaskini untuk keluarga peranti berkenaan dengan memperkenalkan Asus Zenfone 3 Zoom.
Berbeza dengan sebelumnya, kali ini Asus menyertakan dwi-kamera pada peranti ini, dimana Asus menyertakan sokongan untuk zoom sehingga 2.3kali menggunakan salah satu lensa pada bahagian belakangnya. Disamping itu, ia juga membolehkan pengguna merakamkan gambar dengan penambahan bokeh yang mengaburkan gambar belakang pada objek yang difokuskan.
Dari segi spesfikasi, Asus Zenfone 3 Zoom hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci dengan resolusi 1080p, dijana menggunakan cip Snapdragon 625, memori sehingga 4GB RAM, dan ruangan storan sehingga 128GB. Pengguna boleh memperluaskan storan menggunakan kad mikro-SD pada peranti ini.
Melengkapkan peranti ini adalah sokongan kamera 12-megapixel dengan teknologi Asus SuperPixel yang menawarkan kemampuan merakamkan gambar dengan jelas pada keadaan cahaya rendah, selain gabungan kamera 12-megapixel pada bahagian belakang yang menawarkan zoom optikal sehingga 2.3-kali.
Asus Zenfone 3 Zoom ini turut menyertakan kamera hadapan 13-megapixel pada bahagian hadapan. Berbeza dengan Asus Zenfone AR, peranti ini menggunakan Android 6.0, dan dilengkapi bateri berkapasiti 5000mAh.
Asus dijangka memasarkan peranti ini dalam masa sebulan dua lagi.