LG melalui LG G5 sebelum ini telah memperkenalkan rekaan modular, membolehkan pengguna menambah beberapa ciri dan fungsi tambahan melalui pembelian modul berbeza seperti untuk audio, kamera dan sebagainya. Walaubagaimanapun, ia boleh dikatakan kurang mendapat permintaan pengguna, selain LG G5 sendiri agak kurang popular dikalangan pengguna.
Kini, selang setahun, dengan pelancaran LG G6 yang semakin hampir, pihak LG melalui sebuah temuramah mengatakan mereka tidak akan mengeluarkan peranti modular buat masa ini. LG mengatakan pengguna kurang berminat dengan rekaan telefon modular, membuatkan mereka tidak menyertakan ia pada LG G6, sebaliknya memfokuskan pada rekaan dan penggunaan peranti berkenaan.
Desas-desus berkenaan perkara ini telah diperkatakan sebelum ini, dan melalui perkongsian pihak LG kepada WSJ, ia seperti telah disahkan.
LG dijangka memperkenalkan LG G6 sekitar MWC yang akan berlangsung pada penghujung Februari kelak. LG sebelum ini telah diperkatakan sedang melihat kepada tarikh lebih awal bagi mencuri hati pelanggan yang menantikan peranti daripada Samsung, selain beberapa pengeluar lain.