MSI GT83VR Titan SLI Kini Hadir Menyertakan Papan Kekunci Mekanikal Berlampu RGB Penuh
MSI

MSI GT83VR Titan SLI Kini Hadir Menyertakan Papan Kekunci Mekanikal Berlampu RGB Penuh

Diterbitkan pada Jan 5, 2017 oleh .

MSI sedia menawarkan komputer riba MSI GT83VR Titan SLI di Malaysia sejak bulan Ogos 2016 lepas, dan hari ini, melalui kemaskini spesifikasi yang diumumkan, komputer riba berkuasa tinggi memfokuskan permainan video berkenaan turut menerima kemaskini serta beberapa ciri-ciri baru.

MSI GT83VR Titan SLI masih kekal hadir dengan kad grafik GTX1080 dan GTX 1070, skrin bersaiz 18.4-inci, memori sehingga 64GB RAM dan melalui kemaskini baru ia menyertakan cip pemprosesan Intel Core i7 generasi ketujuh.

MSI GT83VR Titan SLI

Selain penggunaan cip Intel Core generasi ketujuh, kini MSI GT83VR turut hadir dengan penggunaan papan kekunci mekanikal dengan lampu belakang RGB penuh. Untuk tujuan ini, papan kekunci terbaru ini dikuasakan Cherry MX RGB Speed Silver Switch, sekaligus memberikan pengalaman bermain yang lebih baik tanpa perlu menekan butang dengan lebih kuat berbanding sebelumnya. MSI turut menyertakan perisian khusus untuk mengawal kombinasi warna yang dipaparkan pada papan kekunci.

MSI GT83VR Titan SLI

Disamping itu, kini komputer riba ini dilengkapi sokongan audio berkualiti tinggi, Hi-Res Audio. Melaluinya, ia menawarkan kadar audio sehingga 32bit/384KHz. Daripada demonstrasi yang diperlihatkan oleh MSI, kualiti output audio yang dimainkan sangat jauh berbeza, walaupun input audio berkenaan adalah daripada hasil yang sama.

MSI juga selain permainan video biasa, menekankan kepada sokongan realiti-maya melalui komputer riba ini. Untuk membawanya setapak lagi kehadapan, kini MSI melengkapkan komputer riba ini dengan sokongan Nahimic VR – sekaligus menawarkan sokongan audio 7.1 yang menawarkan pengalaman realiti-maya lebih baik berbanding sebelumnya.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah model terbaru ini akan dipasarkan di Malaysia. Sebelum ini, model GT83VR yang diperkenalkan pada bulan Ogos 2016 lepas dijual pada harga RM20,999. Mungkinkah kita akan dapat melihat penawaran harga yang lebih kurang sama untuk versi kemaskini ini?

MSI GT83VR Titan SLI


TIPS & ULASAN