Cari @ Amanz

Samsung Galaxy A7 2017 akhirnya dilancarkan secara rasmi di Malaysia pagi ini. Untuk pertama kalinya kemampuan kalis air IP68, USB C dan sokongan Samsung Pay disokong oleh peranti kelas pertengahan ini. Dengan menyertakan fungsi-fungsi yang selama ini dikhaskan kepada peranti utama, Samsung mahu memtakrifkan semula apakah yang dimaksudkan sebagai peranti kelas pertengahan. Berikut ialah pandang pertama kami untuk Samsung Galaxy A7 2017

Spesifikasi

Samsung Galaxy A7 2017
Skrin 5.7″ SAMOLED FHD (386 PPI)
Pemproses 1.9 GHz  x 8 GHz Exynos 7880
Cip Grafik Mali T830
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32  Gigabyte (Kad MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 16 Megapixel f/1.9,
Kamera Depan 16 Megapixel f/1.9
Kalis Air IP 68
Bateri 3600 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano / Bukan HIbrid
Jalur LTE 2/4 /17 /28 /38 /40 /41
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Pengimbas Cap Jari Ya

Skin 5.7″ SAMOLED HD Penuh dipadankan dengan pemproses 1.8 GHz lapan teras Exynos 7880. Setakat ini hanya A7 dan A5 2017 menggunakan pemproses keluaran Samsung ini. Saiz skrin tahun ini juga sedikit lebih besar berbanding hanya 5.5″ pada model tahun lalu. Sistem skrin Always On Display yang eksklusif kepada peranti utama juga disokong.

RAM sebesar 3 Gigabyte dipadankan dengan storan sebesar 32 Gigabyte. Bagi yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256 Gigabyte boleh digunakan.

Kemampuan optik pula ialah kamera hadapan serta belakang sebesar 16-Megapixel dengan lensa f/1.9. Menarik sekali keduap-dua kamera ini turut menggunakan sensor ISOCELL yang sama keluaran Samsung. Tidak seperti A7 2016, kali ini sistem OIS tidak disertakan. Resolusi merakam video maksimum pula hanya 1080P.

Bateri sebesar 3600 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas Adaptive Fast Charging melalui port pengecasan USB-C. Ini ialah peningkatan kapasiti berbanding 3300 mAh pada model tahun lalu.

Terdapat pengimbas cap jari terbina pada butang home dan sokongan NFC pada panel belakang. Seperti yang kami katakan pada perenggan permulaan, A7 2017 menyokong sistem pembayaran Samsung Pay. Bagi yang memiliki lebih daripada satu SIM, A7 2017 mempunyai dua talam SIM bersaiz nano. Kedudukan talam SIM adalah agak aneh kerana satu pada bahagian atas seperti S7 dan satu lagi pada sisi sebelah kiri. Ini adalah kerana Samsung tidak menggunakan talam hibrid 2 dalam 1 untuk kad MikroSD seperti pada S7.

Rekabentuk

Rekaan A7 2017 saling tak tumpah seperti sebuah Galaxy S7. Panel belakang diperbuat daripada kaca dengan sisi dwi-lengkung yang kali pertama kami lihat pada Note 5. Sisi logam berbentuk bulat membuatkan peranti amat selesa di dalam genggaman tangan.

Butang kuasa terletak pada sisi kanan manakala dua butang suara diletakkan pada sisi kiri. Pembesar suara yang biasanya ditemui pada bahagian bawah peranti Samsung kini berubah kedudukannya di atas butang kuasa. Ini sama seperti yang dilihat pada Galaxy J5 Prime. Bicu audio 3.5 mm dan port pengecasan terletak pada bahagian bawah peranti.

Galaxy A7 2017 masih menggunakan butang navigasi fizikal pada bahagian dagu. Butang home pada bahagian tengah dihimpit butang multi tasking pada sebelah kiri dan butang back pada bahagian kanan. Kedua-dua butang navigasi ini dilengkapi lampu bagi memudahkan penggunaan pada waktu malam.

Secara keseluruhan Galaxy A7 2017 mempunyai rekaan yang sedap mata memandang tetapi lebih sedap tangan menggenggam. Rekaan Galaxy S7 diperhalusi dan digunakan pada peranti kelas pertengahan ini.

Bonjolan kamera yang ada pada S7 tidak lagi wujud pada A7 2017. Ini memudahkan ia diletakkan rata pada permukaan meja tanpa memerlukan kerangka. Samsung memberikan empat pilihan warna iaitu hitam, biru, emas dan merah jambu. Pada hemat kami warna hitam adalah paling cantik di antara keempat-empat warna yang diberikan.

Antaramuka

Android 6.0.1 Marshmallow digunakan dengan pelancar Grace UX yang sebelum ini ditemui pada Note 7. Ini membuatkan peranti kelihatan lebih kemas dan minimalis. Sejak dua tahun kebelakangan ini, Samsung melakukan perubahan drastik ke atas rekaan antaramuka mereka. TouchWiz yang menggunakan warna terang dan kontra kini sudah secara rasminya berkubur digantikan dengan rekaan yang lebih mengikuti estetik semasa. Kami sedikit kecewa kerana Samsung masih bertegas menggunakan Marshmallow pada peranti keluaran 2017. Kerana ia peranti baru, tidak diketahui bilakah kemas kini Nougat akan diberikan.

Kami merindui Note 7 kerana antaramuka Grace UX digunakan. Melihatnya kembali digunakan pada Galaxy A7 2017 sedikit sebanyak mengubat rindu.  Seperti biasa Samsung menyertakan pelbagai fungsi tambahan pada peranti keluaran mereka. Kebanyakan fungsi tambahan ini tidak ditemui pada Android Stock. Berikut ialah senarai fungsi-fungsi yang disertakan.

  • Info
  • Palm Capture – Menangkap gambar paparan skrin dengan menggunakan telapak tangan.
  • Info
  • Smart Stay – Skrin tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata anda memandang skrin.
  • Info
  • Direct Call – Peranti melakukan panggilan telefon secara automatik apabila ia diletakkan ke telinga pengguna.
  • Info
  • Easy Mute – Mematikan nadi dering dengan meletakkan tangan di atas skrin atau menelangkupkan peranti.
  • Info
  • Multi WIndow – Memaparkan dua aplikasi serentak dengan skrin terbahagi kepada dua.
  • Info
  • Quick Launch Camera – Melancarkan kamera dengan pantas dengan menekan butang home sebanyak dua kali.
  • Info
  • One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali.
  • Info
  • Themes – Kustomasi antaramuka dengan tema-tema baru yang boleh dimuat turun.
  • Info
  • Game Launcher – Kemudahan merakam video aplikasi permainan serta mematikan kesemua notifikasi apabila ia diaktifkan.
  • Info
  • Grid – Menetapkan saiz grid susunan ikon. Terdapat pilihan 4×4, 4×5 atau 5×5.

 

Kesimpulan

Tahun 2016 melihat fungsi pengimbas cap jari, binaan premium dan pengecasan pantas yang dahulunya dianggap fungsi eksklusif peranti utama mula digunakan pada peranti kelas pertengahan. Hasilnya ialah pasaran dipenuhi banyak peranti kelas pertengahan yang baik tetapi dijual pada harga mampu milik. Peranti kelas pertengahan ini suatu ketika dahulu didominasi oleh Samsung. Dengan kemasukan pengeluar China yang menjual pada harga lebih rendah, Samsung perlu melakukan kelainan bagi menarik semula pelanggan tempatan.

Percaturan mereka ialah dengan memperkenalkan fungsi premium kalis air, binaan seakan S7 dan Samsung Pay pada peranti keluarga Galaxy A. Pada harga jualan RM 1899, Samsung Galaxy A7 2017 memberikan beberapa fungsi yang tidak wujud pada peranti kelas pertengahan pesaing Samsung. Kemasan pada Galaxy A7 2017 juga amat premium. Panel kaca melengkung, sisi logam bulat dan kaca 2.5D pada bahagian hadapan membuatkannya amat selesa di dalam genggaman tangan. Tidak terhenti di situ. Antaramuka Grace UX baru dan pelbagai fungsi tambahan disertakan.

Kekurangan setakat ini terletak pada penggunaan Android Marshmallow sedangkan kita sudahpun di tahun 2017. Sukar untuk memaafkan penggunaan perisian yang sudah berusia lebih setahun pada peranti baru. Harga yang agak tinggi ini juga mungkin menakutkan sebilangan kecil pengguna. Tetapi apa yang kami boleh katakan ialah Galaxy A7 2017 mempunyai pelbagai fungsi tambahan serta kemasan yang lebih baik berbanding pesaingnya. Bergantung kepada pengguna untuk membayar lebih untuk menikmatinya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd