Cari @ Amanz

Xiaomi telah sedia hadir dengan rekaan bingkai tepi yang sangat nipis melalui Xiaomi Mi Mix. Kini, Xiaomi turut menyertakan perkara sama pada televisyen pintar mereka, dan hari ini telah memperkenalkan Mi TV 4.

Xiaomi Mi TV 4 hadir dengan rekaan yang sangat nipis berbanding beberapa televisyen pintar lain, dan pada bahagian bingkai, ia menyertakan rekaan bingkai yang boleh dikatakan “tidak kelihatan” jikalau dibandingkan dengan sejumlah televisyen lain di pasaran. Xiaomi turut melengkapkan televisyen ini dengan rekaan kaki yang lutsinar, bagi membolehkan telvisyen berkenaan kelihatan seumpama sedang terapung apabila diletakkan di ruang tamu.

Xiaomi Mi TV 4

Xiaomi Mi TV 4

Melengkapkan televisyen pintar ini adalah sokongan Dolby Atmos melalui Mi Bar yang disertakan bersama-sama televisyen berkenaan. Xiaomi mengatakan ia menawarkan pengalaman bunyi yang lebih baik berbanding dengan sebelum ini.

Mi TV 4 juga membawakan rekaan modular, membolehkan pengguna hanya perlu menaik-taraf bahagian bar sahaja sekiranya inginkan beberapa ciri-ciri baru serta pemprosesan lebih pantas. Xiaomi mengatakan kos televisyen yang sangat tinggi adalah pada bahagian panel, dan dengan melakukan seperti ini, ia dapat menjimatkan kos naik-taraf sehingga 80%.

Dari segi perisian, Xiaomi mengatakan kini ia dilengkapi dengan sokongan pembelajaran mesin yang mengoptimasikan kandungan berdasarkan pengguna yang menontonnya.

Mi TV 4 bersaiz 65-inci dengan sokongan Dolby Atmos akan dijual pada harga bawah $2000 (~RM8970) di China, dan turut akan hadir dalam variasi 55-inci dan 45-inci. Xiaomi tidak berkongsi sebarang perancangan untuk menawarkan televisyen ini untuk pasaran global buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd