Dell Hadir Dengan Monitor 32-inci Pada Resolusi 8K

Dell Hadir Dengan Monitor 32-inci Pada Resolusi 8K

Diterbitkan pada Jan 6, 2017 oleh .

Pada hari ini, boleh dikatakan ramai yang terlibat dalam industri multimedia dan kreatif telah mula menggunakan skrin pada resolusi QHD atau 4K. Kini, melangkah ke tahun 2017, pihak Dell turut hadir dengan sebuah monitor baru bersaiz 32-inci pada resolusi 8K.

Monitor bersaiz 32-inci ini menawarkan resolusi pada 7680×4320 pixel, dan pada kadar segar semula 60Hz. Secara kasar, boleh dikatakan ia merupakan gabungan empat paparan 4K pada satu monitor.

Dell turut mengatakan ia menawarkan pewarnaan 100% Adobe RGB, 100% sRGB dan sebagainya – menjadikan ia sesuai untuk tugasan multimedia.

Dell Monitor 8K

Daripada pengamatan kami sendiri di CES 2017 ini, ia tampak cantik – tetapi mungkin memerlukan PC yang sangat berkuasa dan dioptimasikan untuk panel paparan ini. Pada bahagian demo yang diperlihatkan, ia menjalankan mesin yang dikuasakan Windows 10 – tetapi memaparkan ikon pada saiz yang sangat-sangat kecil, kerana resolusinya yang sangat besar.

Bagi kami sendiri, kami rasakan monitor ini mungkin menjadi pilihan bagi mereka yang terlibat dalam arena penyuntingan video – memandangkan boleh membuat penyuntingan video 4K dengan mudah melaluinya.

Dari segi harga, ia mencecah $5,000 (~RM22420), dan dijangka dipasarkan sekitar suku kedua 2017 ini.


TIPS & ULASAN