Pandang Pertama Samsung Galaxy A5 2017 – Peranti Pertengahan Premium

Pandang Pertama Samsung Galaxy A5 2017 – Peranti Pertengahan Premium

Diterbitkan pada Jan 9, 2017 oleh .

Samsung Galaxy A5 2017 akhirnya dilancarkan secara rasmi di Malaysia bersama dengan A7 2017. Kedua-dua sebenarnya adalah kembar tak seiras kerana mempunyai rekaan serta spesifikasi yang hampir sama. Galaxy A5 2017 ialah versi yang lebih kecil dengan skrin hanya sebesar 5.2″. Berikut ialah pandang pertama kami mengenai Galaxy A5 2017.

Spesifikasi

Samsung Galaxy A5 2017
Skrin 5.2″ SAMOLED FHD (423 PPI)
Pemproses 1.9 GHz x 8 GHz Exynos 7880
Cip Grafik Mali T830
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (Kad MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 16 Megapixel f/1.9
Kamera Depan 16 Megapixel f/1.9
Kalis Air IP 68
Bateri 3000 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano / Bukan HIbrid
Jalur LTE 2/4 /17 /28 /38 /40 /41
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Pengimbas Cap Jari Ya

Skin 5.2″ SAMOLED HD Penuh dipadankan dengan pemproses 1.8 GHz lapan teras Exynos 7880. Saiz skrin tahun ini adalah sama seperti pada model tahun lalu. Perubahan yang dilakukan ialah sistem skrin Always On Display diperkenalkan. Versi Always On Display yang digunakan adalah sama seperti yang dilihat pada Note 7 dan lebih terkini dari yang diterima oleh S7.

RAM sebesar 3 Gigabyte dipadankan dengan storan sebesar 32 Gigabyte. Bagi yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256 Gigabyte boleh digunakan.

Kemampuan optik pula ialah kamera hadapan serta belakang sebesar 16-Megapixel dengan lensa f/1.9. Menarik sekali kedua-dua kamera ini turut menggunakan sensor ISOCELL yang sama keluaran Samsung. Tidak seperti A5 2016, kali ini sistem OIS tidak disertakan. Resolusi merakam video maksimum pula hanya 1080P.

Bateri sebesar 3000 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas Adaptive Fast Charging melalui port pengecasan USB-C. Ini ialah saiz bateri yang sama seperti model tahun lalu. Tidak diketahui mengapa bateri yang lebih besar tidak digunakan. Pada Galaxy A7 2017, bateri dipertingkatkan kepada 3600 mAh dari 3200 mah.

Terdapat pengimbas cap jari terbina pada butang home dan sokongan NFC pada panel belakang. Galaxy A5 2017 menyokong sistem pembayaran Samsung Pay. Bagi yang memiliki lebih daripada satu SIM, A5 2017 mempunyai dua talam SIM bersaiz nano. Kedudukan talam SIM adalah agak aneh kerana satu pada bahagian atas seperti S7 dan satu lagi pada sisi sebelah kiri. Ini adalah kerana Samsung tidak menggunakan talam hibrid dua dalam satu untuk kad MikroSD seperti pada S7.

Rekabentuk

Rekaan A5 2017 berkongsi DNA dengan Samsung Galaxy S7. Panel belakang diperbuat daripada kaca dengan sisi dwi-lengkung yang kali Sisi logam berbentuk bulat membuatkan peranti amat selesa di dalam genggaman tangan. Sisi logam ini mempunyai warna yang sama dengan panel belakang. Unit ulasan yang kami terima berwarna hitam dan kelihatan amat segak. Skema warna ini turut boleh dilihat pada Galaxy S7 Edge Pearl Black yang baru sahaja diperlihatkan.

Butang kuasa terletak pada sisi kanan manakala dua butang suara diletakkan pada sisi kiri. Ketiga-tiga butang diperbuat daripada logam dengan binaan yang kukuh. Ia tidak menyakitkan jari apabila ditekan dan tidak bergoyang di dalam soket. Kualiti kemasan pada peranti ini adalah tinggi seperti peranti-peranti Samsung yang lain.

Pembesar suara yang biasanya ditemui pada bahagian bawah peranti Samsung kini berubah kedudukannya di atas butang kuasa. Ini sama seperti yang dilihat pada Galaxy J5 Prime. Bicu audio 3.5 mm dan port pengecasan terletak pada bahagian bawah peranti.

Galaxy A5 2017 masih menggunakan butang navigasi fizikal pada bahagian dagu. Butang home pada bahagian tengah dihimpit butang multi tasking pada sebelah kiri dan butang back pada bahagian kanan. Kedua-dua butang navigasi ini dilengkapi lampu bagi memudahkan penggunaan pada waktu malam.

Secara keseluruhan Galaxy A5 2017 mempunyai rekaan yang sedap mata memandang tetapi lebih sedap tangan menggenggam. Rekaan Galaxy S7 diperhalusi dan digunakan pada peranti kelas pertengahan ini.

Bonjolan kamera yang ada pada S7 tidak lagi wujud pada A5 2017. Ini memudahkan ia diletakkan rata pada permukaan meja tanpa memerlukan kerangka. Samsung memberikan empat pilihan warna iaitu hitam, biru, emas dan merah jambu.

Antaramuka

Android 6.0.1 Marshmallow digunakan dengan pelancar Grace UX yang sebelum ini ditemui pada Note 7. Ini membuatkan peranti kelihatan lebih kemas dan minimalis. Sejak dua tahun kebelakangan ini, Samsung melakukan perubahan drastik ke atas rekaan antaramuka mereka. TouchWiz yang menggunakan warna terang dan kontra kini sudah secara rasminya berkubur digantikan dengan rekaan yang lebih mengikuti estetik semasa. Kami sedikit kecewa kerana Samsung masih menggunakan Marshmallow pada peranti keluaran 2017. Kerana ia peranti baru, tidak diketahui bilakah kemas kini Nougat akan diberikan.

Seperti biasa Samsung menyertakan pelbagai fungsi tambahan pada peranti keluaran mereka. Kebanyakan fungsi tambahan ini tidak ditemui pada Android Stock. Berikut ialah senarai fungsi-fungsi yang disertakan.

Palm Capture – Menangkap gambar paparan skrin dengan menggunakan telapak tangan.

Smart Stay – Skrin tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata anda memandang skrin.

Direct Call – Peranti melakukan panggilan telefon secara automatik apabila ia diletakkan ke telinga pengguna.

Easy Mute – Mematikan nadi dering dengan meletakkan tangan di atas skrin atau menelangkupkan peranti.

Multi WIndow – Memaparkan dua aplikasi serentak dengan skrin terbahagi kepada dua.

Quick Launch Camera – Melancarkan kamera dengan pantas dengan menekan butang home sebanyak dua kali.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali.

Themes – Kustomasi antaramuka dengan tema-tema baru yang boleh dimuat turun.

Game Launcher – Kemudahan merakam video aplikasi permainan serta mematikan kesemua notifikasi apabila ia diaktifkan.

Grid – Menetapkan saiz grid susunan ikon. Terdapat pilihan 4×4, 4×5 atau 5×5.

Second Space – Menghalang akses kepada folder tertentu dengan menguncinya dengan cap jari. Second Space juga membenarkan dua aplikasi yang sama seperti WhatsApp digunakan pada satu peranti.

Kesimpulan

Jika dibandingkan dengan A7 2017, A5 2017 adalah lebih selesa dipegang kerana saiz skrin yang lebih kecil. Sungguhpun begitu dari segi fungsi tambahan, rekaan dan spesifikasi kedua-dua peranti adalah sama. Dengan penggunaan Grace UX dan Always On Display, Galaxy A 2017 memberikan fungsi yang setanding dengan apa yang ditemui pada sebuah Galaxy S7. Bagi mereka yang mahukan fungsi yang ditemui pada peranti utama tetapi tidak mampu membayar lebih, Galaxy A 2017 ialah antara pilihan yang menarik.

Sebelum ini untuk mendapatkan fungsi kalis air pengguna perlu membayar lebih. Kami tidak akan terkejut sekiranya lebih banyak peranti kelas pertengahan pada tahun 2017 akan mengikuti langkah yang dilakukan oleh Samsung. Pesaing sengit ini pastinya menguntungkan pengguna. Samsung menyedari pasaran peranti kelas pertengahan yang dahulunya dikuasai mereka kini semakin sengit dan dipenuhi peranti pesaing pada harga lebih rendah. Dengan menyertakan fungsi peranti utama serta kemasan lebih premium mereka berharap dapat menarik semula pengguna untuk membeli peranti keluaran mereka.

Selepas penggunaan selama sehari kami cukup berpuasa hati dengan apa yang ditawarkan oleh A5 2017. Pada harga di bawah RM 1699 ia mungkin dianggap agak mahal. Tetapi sekiranya pengguna mencari peranti dengan kualiti kemasan yang tinggi, perisian dengan pelbagai fungsi tambahan serta kemampuan kalis air ini mungkin sebilangan kecil peranti di pasaran yang menawarkan kesemuanya. Nantikan ulasan penuh Samsung Galaxy A5 2017 dalam masa terdekat.


TIPS & ULASAN