Cari @ Amanz

Peranti HTC Ocean kali pertama tertiris pada September tahun lalu. Pada awalnya ia dikatakan hanya sebuah peranti konsep yang dihasilkan untuk menguji sistem kawalan kapasiti sepenuhnya pada bahagian sisi peranti. Sebuah video baru tertiris dan sekali lagi menunjukkan bagaimana sistem kawalan unik ini berfungsi.

Seperti biasa sumber video ini ialah @evleaks yang memang terkenal dengan kemampuan beliau mendapatkan maklumat sebelum kemunculan peranti rasmi. Apa yang menarik mengenai HTC Ocean ialah ia tidak mempunyai sebarang butang fizikal. Apabila bahagian sisi disentuh pintasan untuk aplikasi kegemaran akan muncul. Tatalan dan pilihan aplikasi dilakukan dengan menggerakkan jari pada sisi peranti. Sistem kawalan ini boleh digunakan pada sisi kanan dan juga kiri.

Pada bahagian hadapan pula kelihatan seperti sistem imbasan cap jari terbina pada skrin. Besar kemungkinan sistem imbasan jari baru Synaptics digunakan. HTC Ocean dijangka akan dilancarkan secara rasmi di MWC bulan Februari hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd