Symantec Hadir Dengan Penghala Yang Dilengkapi Dengan Perlindungan Sekuriti – Norton Core

Symantec Hadir Dengan Penghala Yang Dilengkapi Dengan Perlindungan Sekuriti – Norton Core

Diterbitkan pada Jan 8, 2017 oleh .

Norton merupakan nama yang tidak asing lagi dikalangan ramai pengguna komputer, disebabkan oleh penawaran perisian sekuriti seperti antivirus dan sebagainya. Terkini, mereka hadir dengan penghala khusus yang dilengkapi sokongan sekuriti terbina, iaitu Norton Core.

Berbanding perlindungan untuk setiap satu komputer secara berasingan, dengan menggunakan Norton Core, ia menawarkan perlindungan daripada pelbagai masalah sekuriti seperti virus dan serangan penjenayah siber dengan mudah – untuk semua pengguna di dalam rumah. Malah, dengan perkembangan peranti-berhubung dan juga rumah pintar, semestinya penawaran ini lebih diminati ramai.

Norton Core

Seperti perisian mereka, untuk Norton Core, pihak Symantec akan sentiasa mengemaskininya dengan pelbagai perlindungan baru daripada serangan malware, mekanisma baru dan sebagainya.

Sebuah aplikasi khusus turut ditawarkan dalam usaha memudahkan pengguna melihat skor semasa mengenai kadar keselamatan, selain melihat pelbagai masalah dan ancaman yang telah dilindungi oleh Norton Core. Dari segi spesifikasi, penghala ini dilengkapi dengan sokongan 4×4 MU-MIMO dan 802.11ac WiFi.

Norton Core kini sudah boleh dipra-tempah oleh pengguna di Amerika Syarikat. Ia ditawarkan pada harga $199 (~RM890) untuk tempoh pra-tempahan ini, dan harga jualan akhirnya adalah $280 (~RM1252). Pengguna juga akan dikenakan dengan langganan Norton Core Security Plus berharga $99 (~RM442) untuk setiap tahun. Seperti biasa, langganan untuk tahun pertama adalah percuma, dan ia turut hadir dengan 20 lesen untuk perisian sekuriti Norton untuk dipasang pada komputer anda.

Kadar tukaran mata wang yang digunakan adalah $1 = RM4.47.


TIPS & ULASAN