China Menggubal Undang-Undang Mengharamkan Penderaan Ketika Rawatan Ketagihan Internet

China Menggubal Undang-Undang Mengharamkan Penderaan Ketika Rawatan Ketagihan Internet

Diterbitkan pada Jan 10, 2017 oleh .

Ketagihan internet ialah fenomena serius yang dialami oleh hampir semua pemilik peranti pintar dan komputer. Tidak seperti sepuluh tahun yang lalu, 3 dari 5 penduduk di Malaysia mengakui tidak boleh hidup tanpa peranti pintar mereka. Di China terdapat lebih daripada 700 Juta pengguna internet dan sebahagian kecil daripada mereka mengalami masalah ketagihan internet yang kronik.

Bagi merawat ketagihan ini, pusat rawatan mula dibuka sejak 2006. Renjatan elektrik pada bahagian kepada digunakan bagi merawat pesakit berserta dengan kehidupan ala kem tentera. Pesakit tidak diberikan akses kepada sebarang peranti selama tiga bulan ketika menjalani rawatan.

Kerajaan China kini sedang menggubal draf undang-undang bagi mengharamkan sebarang bentuk penderaan dilakukan untuk merawat ketagihan ini. Ia dilakukan selepas kes seorang gadis 16 tahun membunuh ibu beliau sebaik sahaja pulang dari pusat “e-serenti” ini. Penderaan yang dialami mengakibatkan beliau marah kepada si ibu dan mengalami gangguan mental.

Setahu kami kem seperti ini masih belum wujud di Malaysia. Sekiranya anda mengenali sanak saudara yang ketagihan internet, adakah anda berminat untuk menghantar mereka ke kem seperti ini?


TIPS & ULASAN