Cari @ Amanz

Setiap hari di media sosial kami akan melihat pengguna merungut apabila ditipu penjual iPhone palsu. Mangsa ditipu dengan penawaran harga yang amat murah dengan pelbagai alasan seperti “rampasan kastam” dan “menerima hadiah dan tidak mahu menggunakan iPhone”. Apabila peranti yang dipesan diterima, mereka mendapati ianya produk palsu atau di dalam kes lebih sadis bungkusan tidak pernah sampai.

KPDNKK semalam melakukan serbuan ke atas sebuah premis di Klang dan merampas 140 iPhone dan 86 iPad palsu bernilai RM 350 000. Produk palsu ini dijual kepada pelanggan di United Kingdom dan Amerika Syarikat secara atas talian. Turut serta di dalam serbuan ini ialah dua wakil dari Apple. Serbuan dilakukan selepas menjalankan intipan selama tiga bulan. Jika didapati bersalah, pesalah akan dikenakan denda sebanyak RM 10000 untuk setiap produk palsu yang dijual.

Kami ingin mengingatkan pembaca Amanz supaya sentiasa berhati-hati dengan pembelian peranti secara atas talian. Jangan mudah kelabu mata dengan tawaran peranti pada harga terlalu murah. Tahun lalu kecoh kisah penipuan melibatkan jutaan ringgit di dalam skim pembelian iPhone 7 murah secara pukal. Jangan menjadi mangsa dan membelilah dengan lebih pintar, seperti peranti pintar yang anda idamkan.

 

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd