Carian
Berhenti Kongsi Gambar Tiket Penerbangan Di Laman Sosial – Info Anda Boleh Digodam
January 11, 2017 Aman

Dengan perkembangan laman sosial, salah satu perkara yang sering dikongsikan seseorang apabila pergi bercuti adalah gambar tiket penerbangan di Instagram, Twitter, Facebook dan sebagainya. Walaupun mungkin perkongsian berkenaan dilakukan untuk memberitahu perkembangan semasa kepada rakan-rakan lain, namun salah satu perkara yang tidak disedari ramai adalah dimana info peribadi anda boleh digodam – malah percutian anda mungkin boleh diganggu oleh pengodam.

Kerentanan sekuriti ini berpunca daripada penggunaan kod QR pada tiket penerbangan dan juga pada tag pada beg – yang mana tidak melalui sebarang penyulitan. Ini membolehkan sesiapa sahaja merakamkan gambar kod QR berkenaan – dan mengakses info penerbangan pengguna. Kod QR berkenaan biasanya mengandungi nama penuh pengguna berkenaan (yang biasanya digunakan sebagai log masuk untuk pelbagai laman penerbangan), dan juga angka 6 digit yang dikenali PNR yang digunakan sebagai kata laluan.

Dengan menggunakan info berkenaan, seseorang pengodam boleh membuat beberapa perkara – termasuk mengubah info penerbangan, membatalkan penerbangan, mengubah nombor kad ganjaran penerbangan, memindahkan penerbangan kepada pengguna lain, serta beberapa perkara lain.

Walaupun setelah penerbangan dan percutian anda selesai, anda dinasihatkan tidak berkongsi gambar tiket penerbangan di laman sosial – memandangkan sejumlah info peribadi anda boleh dicari kembali melaluinya. Malah, info berkenaan juga turut boleh digunakan pengodam untuk membuat laman phishing dan mencuri info lanjutan yang lain.

Buat masa ini, sistem penerbangan dilihat selesa dengan sistem sedia ada yang mencetak kod QR dengan info PNR pada tiket dan tag beg. Mungkin buat masa ini, salah satu untuk mengatasinya adalah untuk tidak merakamkan gambar tiket anda dan berkongsi ia di laman sosial.

Komen