Cari @ Amanz

Tahun lalu Singapura menjadi negara pertama menguji teksi panduan automatik. Teksi nuTonamy diuji dan merupakan fasa pertama sebelum penggunaan meluas di keseluruhan pulau menjelang 2018. Pihak Kementerian Pengangkutan Singapura mengumumkan ujian lori panduan automatik untuk kegunaan di pelabuhan yang akan melibatkan teknologi yang dibangunkan oleh Scania dan Toyota.

Ujian selama tiga tahun ini membolehkan sebuah lori kontena dengan pemandu manusia mengepalai konvoi tiga lagi lori kontena dengan sistem pemanduan automatik. Sistem Platooning ini dapat mengurangkan jumlah pemandu lori di republik ini. Pihak Kementerian Pengangkutan menyedari terdapat kekurangan jumlah pemandu lori dan sistem yang diuji ini bakal menyelesaikan masalah di masa hadapan.

Lori akan digunakan hanya untuk memindahkan kontena dari Terminal Brani dan Terminal Pasir Panjang sejauh 10 kilometer. Usai tempoh ujian pihak kementerian akan memilih sistem pemanduan automatik syarikat pemenang. Singapura sudah memulakan jawatankuasa kenderaan pemanduan automatik sejak 2014 sebagai cara mengurangkan kesesakan jalan raya dan kekurangan pemandu terlatih.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd