Cari @ Amanz

Penggunaan rangkaian gelombang FM pada radio merupakan salah satu perkara yang tidak asing dikalangan ramai pengguna hari ini. Tetapi, perkembangan teknologi turut membawa kepada perubahan pelbagai perkara, dan kini negara Norway menjadi yang terawal di seluruh dunia untuk mengubah siaran radio daripada gelombang FM kepada digital sepenuhnya.

Norway sedia merancang untuk menggantikan penggunaan FM sejak beberapa tahun lepas, dan telah menguji siaran digital untuk radio sekitar 1995. Siaran berbentuk digital ini dikatakan menawarkan kualiti audio yang jauh lebih baik berbanding dengan FM, selain turut mudah untuk dicapai pengguna, serta lebih kos efisyen untuk penyiar berbanding dengan penggunaan gelombang FM.

Buat masa ini, negara Eropah yang lain sedang melihat kepada Norway dalam menentukan sama ada turut beralih kepada gelombang digital sepenuhnya ataupun sebaliknya. Norway buat masa ini telah menggantikan gelombang FM di beberapa kawasan, dan akan melakukannya di seluruh negara pada 2017 ini secara berperingkat. Walaubagaimanapun, Norway akan terus membiarkan sejumlah stesen radio untuk menyiarkan dalam gelombang FM untuk temph lima tahun akan datang.

Radio

Pada masa yang sama, timbul juga pelbagai pertanyaan berkenaan dengan peralihan ke siaran digital ini – apatah lagi dengan era populariti perkhidmatan penstriman audio seperti Spotify, Apple Music dan sebagainya. Pelbagai syarikat automotif juga turut telah mengintegrasikan sokongan untuknya pada kenderaan keluaran mereka – termasuk seperti Android Auto dan Apple Carplay.

Bagi anda, adakah anda masih aktif mendengar radio FM pada hari ini, atau telah mula mendengar hanya Spotify, atau lain-lain perkhidmatan penstriman muzik sahaja?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd