Cari @ Amanz

Google pada tahun lepas telah memperkenalkan AMP (Accelerated Mobile Pages) yang menawarkan kemudahan untuk mengakses kandungan sesuatu web dengan pantas. Ia telah diimplementasikan oleh pelbagai laman web – termasuk Amanz, dimana pengguna akan melihat kandungan AMP dilabelkan pada enjin carian, selain ditawarkan dengan rekaan khusus yang tidak memerlukan sambungan internet pantas.

Selain pengoptimasian pada saiz sesuatu laman web, Google juga turut mempunyai cache tersendiri untuk AMP dalam menawarkan ia dapat diakses dengan pantas oleh pengguna. Kini, selain versi biasa, Google turut memperkenalkan AMP Lite – yang mana merupakan versi lebih ringan, dan dioptimasikan untuk peranti dengan spesifikasi rendah dan juga sambungan internet yang perlahan.

Google mengatakan ia menawarkan pengurangan saiz sehingga 45%, dan salah satu fokus utama yang diberikan adalah pengoptimasian pada gambar. Antara perkara yang dilakukan oleh Google adalah mengurangkan kualiti JPG sedikit dalam menawarkannya dengan lebih pantas – selain pada masa yang sama mengubah format gambar kepada WebP, menjadikan saiz gambar kurang 25% tanpa kehilangan kualiti.

Google AMP Lite ini ditawarkan untuk pengguna di beberapa buah negara buat masa ini, termasuk di Malaysia dan juga Vietnam. Seperti biasa, pemilik sesuatu web perlu mengimplementasikan sokongan untuknya sebelum pengguna dapat melihat kesannya ketika melayari web daripada laman keputusan carian Google.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd