Cari @ Amanz

Selamat pagi dan dunia dibangunkan dengan pelantikan secara rasmi Donald Trump sebagai Presiden ke 45 negeri bersekutu Amerika. Beliau mengangkat sumpah malam tadi dan mungkin presiden yang aneh di dalam sejarah negara republik ini. Sepanjang kempen, beliau dilaporkan menggunakan sebuah Samsung Galaxy S6 sebagai peranti kegunaan harian. Penganalisa mendapati tweet yang dihantar secara peribadi oleh beliau dihantar menggunakan peranti Android manakala iPhone digunakan oleh kakitangan beliau.

Kini sebagai ketua kuasa besar dunia, Presiden Trump tidak lagi dibenarkan menggunakan Samsung Galaxy S3* beliau. Sebaliknya ia perlu digantikan dengan sebuah Samsung Galaxy S4 yang turut digunakan oleh Presiden Obama sebelum ini. Mungkin anda terasa sedikit pelik kenapa penukaran peranti perlu dilakukan dan mengapa model “kuno” digunakan?

Samsung Galaxy S4 yang menjadi peranti kegunaan rasmi Trump bukanlah model biasa. Ia model dengan sistem penyulitan dan ROM rahsia yang dibangunkan oleh Agensi Sistem Maklumat Pertahanan (DISA). Peranti Galaxy S4 ini peranti komersial pertama yang menerima kelulusan untuk digunakan bersama rangkaian rahsia SIPRNet Jabatan Pertahanan (DOD). Ia Galaxy S4 ini tidak mempunyai kamera, tidak mampu menghantar SMS dan tidak boleh melakukan panggilan keluar. Sebaliknya sebarang bentuk panggilan perlu melepasi beberapa lapisan keselamatan terlebih dahulu.

Kesemua ini dilakukan bagi memastikan panggilan dan maklumat rahsia yang dihantar kepada Presiden tidak boleh dipintas oleh pengintip negara musuh. Berita baik di sini ialah dunia tidak perlu lagi membaca tweet tidak matang dari Trump.

*DIKEMASKINI – Di dalam laporan asal kami melaporkan Trump menggunakan Samsung Galaxy S6. Selepas melakukan kajian kami menyedari ia sebenarnya sebuah Galaxy S3. Ralat di dalam artikel telah kami perbetulkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd